Malaysia Dateline

Banyak pesawat dari India bawa penumpang sejak seminggu, dedah pemandu

Seorang pemandu sebuah syarikat, Muhammad Fahmi Abdullah tampil menyangkal kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini berhubung penerbangan Malaysia Airlines dari India yang tular di media sosial.

Beliau yang bertugas mengambil penumpang dari India yang tiba di KLIA sebelum menghantar mereka ke hotel bagi tujuan kuarantin mendedahkan sejak seminggu lalu banyak penerbangan penumpang dari negara yang sedang ‘berperang’ dengan varian baharu Covid-19 itu.

Fahmi turut mengakui mempunyai segala bukti tentang penumpang yang diambilnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi termasuk nombor pasport.

“Pagi tadi pun ada flight MH 191 dari New Delhi. Saya diarahkan oleh majikan untuk mengambil seorang bangsa India dari KLIA untuk hantar ke pusat kuarantin.

“Macam mana tuan menteri boleh katakana ia adalah pesawat kargo.

“Syarikat saya ditugaskan untuk ambil penumpang dari KLIA untuk hantar ke hotel kuarantin dan dalam masa seminggu memang banyak pesawat dari India dan penumpang dari India yang telah kami ambil dan hantar ke hotel kuarantin,” dakwanya.

Dalam tangkapan skrin yang tular di media sosial itu, Fahmi juga berkongsikan maklumat salah seorang penumpang warganegara India yang dibawanya.

Nama tertera ialah Ajit Prasad dengan nombor pasport Z5177858 yang mendarat di KLIA menggunakan pesawat MH191 dan dihantar ke Hospital Impiana KLCC pada 5 Mac lalu.

Ekoran pendedahan Fahmi itu, Malaysia Airlines hari ini membuat laporan polis terhadapnya atas dakwaan tidak berasas menyebarkan berita palsu di media sosial.

Seorang lagi individu yang juga dikenakan tindakan sama ialah Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi yang mendakwa pesawat dari India yang mendarat itu adalah MH191 dari Delhi, MH193 dari Bengaluru, MH195 dari Mumbai dan MH181 dari Chenai.

Sejak semalam, tular satu mesej di media sosial bersama carta penerbangan yang menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh pesawat yang berlepas dari India dikesan mendarat di KLIA sejak kelmarin.

Hal itu sekali gus mengundang kebimbangan awam berhubung penularan varian baharu Covid-19 dari India yang berbahaya.

Walau bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan semua penerbangan Malaysia Airlines dari India yang menjadi tular di media sosial adalah penerbangan kargo.

Jelasnya, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara
(MKN) berkuatkuasa pada 28 April lalu.

Kata menteri MCA itu lagi, penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah satu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan Malaysia Airlines Berhad (MAB ) selama berbulan-bulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19,” katanya.