Malaysia Dateline

Juara pecah tanah, banyak projek di Kelantan tak jadi, penganalisis ini persoal nasib projek Empangan Nenggiri

Juara pecah tanah. Itu antara komen warganet selepas tersebar gambar Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Nenggiri yang dirasmikan Menteri Besar Kelantan, kelmarin.

Empangan yang dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 itu diumum ketika hangat teka-teki tarikh sebenarnya berlangsung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahmad Yakob yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan antara lain berkata, projek itu juga nanti membantu negeri tersebut menghadapi kesan banjir melalui kewujudan Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer persegi dan Kolam Pengatur-Aliran seluas 0.97 kilometer persegi.

Adakah projek yang telah diluluskan pelaksanaannya secara dasar oleh Kerajaan Persekutuan sejak 2012 itu akan siap seperti dijadualkan?

Ikuti pandangan daripada penganalisis politik MOHD SAYUTI OMAR berhubung projek yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang itu:

Semalam, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob telah melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri, Gua Musang. Projek bernilai RM5 bilion itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun pada tahun 2027.

Hendaknya ia menjadi kenyataan seperti mana yang dirancangkan itu. Kita berasa sangsi sedikit dalam hal ini kerana banyak projek yang dirancang di Kelantan lengkap dengan solat hajat, letak batu asas, pecah tanah, tarik banner dan sebagainya, tetapi akhirnya projek itu tinggal begitu sahaja.

Bertahun, bukan sahaja tidak siap tetapi terbangkalai terus. Adakalanya tapak projek ditumbuhi semak-samun menjadi tempat babi hutan dan ular kala bersarang.

Sebagai contohnya projek pembinaan bandar Baru Dabong yang perasmian tapaknya dilakukan Oktober 2012, tetapi masih belum siap hingga ke hari ini.

Almarhum Tuan Guru Nik Aziz memerhati pelan struktur bandar baru Dabong sambil diperhati oleh beberapa pemimpin dan wakil rakyat Pas.

Bukan itu sahaja, banyak lagi projek lain yang dilakukan upacara tetapi tidak menjadi kenyataan.

Apakah upacara pecah tanah pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri semalam, projek itu akan menerima nasib sama dengan beberapa projek lain seperti pembinaan bandar baru Dabong itu?

Atau pun upacara itu sebagai hendak mengelirukan mata rakyat Kelantan, kononya kerajaan Pas “cakna’ kepada projek pembangunan untuk rakyat, sedangkan ia adalah satu sandiwara untuk memerangkap rakyat semata-mata.

Jika diperhatikan upacara atau perasmian pembukaan segala macam projek ini rancak dilakukan apabila saat menjelang pilihan raya. Dan apa yang menariknya rakyat Kelantan ini pula cukup berbangga dengan upcara-upacara seperti itu. Walahu’alam.

Baca juga ‘Penyelewengan dalam agensi pentadbiran negeri Kelantan bukan sengaja diada-adakan’

Baca juga Cari kerja malas, rogol pula anak kandung