Malaysia Dateline

Banyak yang mampu Malaysia sumbang dalam mempromosi keamanan, persefahaman

Malaysia yang memiliki kepelbagaian etnik dan agama mampu memberikan sumbangan yang besar kepada komuniti antarabangsa bagi memupuk keamanan dan persefahaman di seluruh dunia, kata Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland.

Beliau berkata kerajaan Malaysia sendiri komited untuk memupuk nilai-nilai keamanan dan rahmah serta membuktikan bahawa Islam adalah agama yang cintakan kedamaian yang merangkumi semua manusia.

“Malaysia, sebagai ahli keluarga yang amat disayangi dalam keluarga Komanwel kita, mampu memberikan hadiah yang begitu diberkati kepada seluruh dunia kerana Malaysia adalah jelmaan apa yang dikatakan sebagai keamanan dan kewujudan bersama secara harmoni,” katanya.

Scotland berkata demikian semasa berucap pada forum ‘Faith in the Commonwealth – Commonwealth Call For Peace, Understanding and Rahmah (Mercy)’ di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) di sini hari ini.

Beliau juga menyentuh mengenai keperluan pemahaman lebih mendalam terhadap sumbangan bahawa sistem kepercayaan – sama ada ia berdasarkan falsafah atau kepercayaan – boleh membawa ke arah pembinaan sikap saling menghormati dalam kalangan negara dan komuniti selain membentuk satu dunia yang adil tetapi juga lebih inklusif.

“Dan ikrar yang dibuat oleh Malaysia untuk menjadi antara pemimpin dalam perjalanan ini ke arah keamanan dan persefahaman adalah ikrar yang saya raikan serta berikan pujian,” kata pemimpin tertinggi pertubuhan negara 54 anggota itu.

Menyentuh serangan maut tahun lepas yang menyasarkan tempat beribadat iaitu masjid di Christchurch, New Zealand dan Colombo, Sri Lanka, Scotland menekankan keperluan untuk bersuara terhadap pihak yang cuba menyebarkan kebencian serta mewujudkan perpecahan.

“Golongan ini berhasrat memecah-belahkan kita dalam keluarga Komanwel kita, mereka ingin mewujudkan jurang di antara kita. Bagaimanapun, kedukaan yang kita alami di Christchurch, dan kemudian di Colombo, tidak berjaya memisahkan kita.

“Ia merapatkan hubungan sesama anggota keluarga Komanwel. Kita tahu kita tidak boleh mengambil pendirian berdiam diri semasa pembawa berita kebencian ini melakukan kerja jahat mereka,” katanya.

Scotland berkata sejumlah besar penduduk Komanwel yang dihuni 2.4 bilion orang adalah beragama Islam dan 1.8 bilion daripada mereka berusia di bawah 30 tahun.

“Jadi ini adalah generasi muda Komanwel, Komanwel yang perlu saling memahami dan menyayangi serta berkongsi (antara satu sama lain),” katanya.

Turut hadir dalam majlis anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan ISTAC-IIUM ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof serta Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Dalam ucapannya, Mujahid berkata kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan apa yang dinamakan sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’ sebagai dasar baharunya, berdasarkan prinsip ‘RAHMAH’ – (ramah), (aman), (harmoni), (mesra), (alami) dan (hormat).

“Prinsip Rahmatan Lil Alamin, seperti yang kita dapati dalam kajian ulama Islam, menawarkan satu penyelesaian kepada masalah dunia yang semakin kompleks dan mendesak,” katanya sambil menambah bahawa perbincangan akademik mengenai konsep ini akan membawa kepada penyelesaian bagi cabaran semasa yang menghalang kewujudan masyarakat berbilang bangsa.

Konsep ini, katanya, boleh difahami sebagai satu nilai sejagat yang boleh diguna pakai oleh setiap bangsa dan agama.– BERNAMA