Malaysia Dateline

‘Banyak yang saya terkilan….’

“Banyak yang saya terkilan sebab hajat tidak kesampaian… saya masuk (mentadbir Jabatan Perdana Menteri, Agama) dengan satu visi jelas iaitu membawa dasar RAHMAH berpandukan falsafah Rahmatan Lil ‘Alamin.”

Demikian luahan hati Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof secara eksklusif kepada Malaysia Dateline ketika ditanya tentang hajat beliau yang tidak kesampaian ketika menyandang jawatan menteri.

Disebabkan tiga, empat manusia yang mempunyai kepentingan diri, mereka itu disifatkannya telah menghancurkan cita-cita besar untuk negara dalam usaha pihaknya membawa pentadbiran Islam ke peringkat yang lebih baik.

“Yang saya terkilan adalah berkaitan usaha-usaha yang telah dibuat, termasuk Akta Profesion Guaman Syarie yang kita perkenalkan.

“Kami juga ada beberapa lagi inisiatif yang belum tercapai. Salah satunya ialah fasa selanjutnya Tabung Haji supaya ia kekal mampan dan muncul sebagai pentadbiran yang berkesan.

“Kedua adalah Akta Wakaf dan ianya sudah berada dalam peringkat draf. Kalau ikutkan sesi Parlimen Mac ini kita nak bentang, tapi dah tertangguh…

“Kita turut terkilan kerana tidak sempat untuk melaksanakan program promosi Rahmatan Lil ‘Alamin secara besar-besaran dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, juga terbantut.. terkilan saya tidak dapat laksanakannya,” luahnya ketika ditemui semalam.

Beliau meluahkan dengan nada perlahan, menggambarkan hatinya benar-benar kesal terhadap rancangannya yang terbantut di pertengahan jalan.

Menceritakan lagi kekesalannya, Dr Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH meluahkan, pihaknya juga sudah menyediakan pelan induk RAHMAH.

“Dah siap dah pelan induk itu, cuma nak tunggu majlis pelancarannya bulan ini oleh Tun Dr Mahathir Mohamad…. juga terbantut.. itulah yang saya terkilan…

“Kita ada satu lagi perancangan yang terbantut iaitu mahu mengakar umbikan RAHMAH ini dengan membuat komuniti rahmah.. semua itu juga sudah siap,” katanya secara perlahan.

Justeru, sesiapa sahaja yang mengambil alih pentadbiran Islam ini di bawah Jabatan Perdana Menteri, beliau berharap pihak berkenaan dapat meneruskan dasar Rahmatan Lil ‘Alamin yang diasaskannya sebelum ini.

“Ini kerana, kita dah siapkan semua. Sampai di peringkat antarabangsa saya sudah mengantarabangsakan Model Malaysia ini.

“Di United Nation, saya diberi penghargaan untuk menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Summit KL, selain memberi ucapan di Universiti Cambridge, Universiti Sarajevo, Beijing Foreign University dan Mu’tah University Jordan untuk membawa agenda pengantarabangsaan ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Buntar itu sempat mengimbas kembali kejayaannya menyelamatkan institusi haji terunggul negara iaitu Tabung Haji.

“Cabaran besar saya ketika melangkah masuk (kerajaan) ialah mengenai pemulihan Tabung Haji.

“Ketika saya ambil alih, defisitnya sudah membengkak RM10 bilion yang boleh kita anggap kalau defisit itu tidak dikawal daripada terus membengkak, ia boleh memberikan mudarat besar kepada sembilan juta pendeposit dan terhadap nilai pendeposit itu sendiri, iaitu sebanyak RM70 bilion.

“Maka, saya berusaha memulihkan Tabung Haji bersama dengan pihak pengurusan yang baharu, dan kita telah berjaya menyelamatkannya,” katanya