‘Banyakkan turun padang, bukan bergaduh di media sosial’

‘Banyakkan turun padang, bukan bergaduh di media sosial’

Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) mengingatkan ahlinya agar memberikan fokus kepada gerak kerja pilihan raya dengan turun padang mendampingi rakyat berbanding menghabiskan masa 'bergaduh' di laman sosial.

Ketuanya Dr Siti Mariah Mahmud berkata, AWAN tidak perlu terlalu menyahut atau memberi respons kepada setiap provokasi musuh tetapi memberi fokus kepada usaha meningkatkan sokongan rakyat kepada AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) khususnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, Pakatan Harapan tidak mungkin ke Putrajaya jika berlaku perpecahan antara parti-parti komponen dan Umno-BN serta konco-konconya akan mencuba sedaya upaya memecahkan PH dengan pelbagai teknik dan helah.

“Kita tidak perlu terlalu menyahut atau memberi respons kepada setiap provokasi mereka tetapi memberi fokus dan tumpuan kepada gerak kerja bersama kita.

“Analoginya jika kita berada dalam satu pertandingan perlumbaan lawan lari, maka penting kita berada di dalam trek kita tanpa perlu menoleh terlalu kerap untuk melihat di mana saingan kita.

“Jika ada respons yang diperlukan kita berikan tugas itu kepada pimpinan tertinggi. Pimpinan di peringkat kawasan dan AWAN tidak perlu sibuk dengan memberi respons dan membuang terlalu banyak masa berhujah di alam maya.

“Yang penting ialah mendampingi rakyat dan meningkatkan sokongan mereka kepada Pakatan Harapan dan AMANAH,” katanya dalam ucaptama Konvensyen AWAN kali Ke-2 di Seri Kembangan, Selangor hari ini.

Menurut beliau juga, AWAN perlu meneruskan usaha pengukuhan dalam PH untuk meneroka dan membawa satu corak politik baharu yang lebih segar dan progresif dalam kalangan wanita.

“Pengukuhan ini boleh dicapai melalui persefahaman dalam membentuk kerjasama bukan sahaja dalam kalangan AWAN tetapi juga dikembangkan kepada sayap wanita dari parti-parti komponen PH, NGO-NGO dan tokoh-tokoh wanita lain yang sudi menyumbangkan idea dan saranan terbaik dalam usaha untuk mengangkat martabat perjuangan wanita dalam negara ini,” katanya.

Pembaharuan gender dalam pilihan raya

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga menegaskan, sayap-sayap wanita PH akan mencadangkan supaya manifesto PH akan memasukkan hasrat PH untuk mengadakan pembaharuan gender dalam pilihan raya.

Pembaharuan ini menurutnya, melibatkan kesungguhan politik yang akan mengadakan WOAS (Women Only Additional Seats) atau kerusi-kerusi tambahan tanpa kawasan untuk menambah bilangan wanita dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Sebagai permulaan kita sangat mengharapkan negeri-negeri yang dikuasai PH seperti Pulau Pinang dan Selangor untuk memulakan agenda ini,” katanya.

Hal ini kerana katanya, perwakilan wanita di peringkat pembuat keputusan terutamanya dalam politik sangat menyedihkan.

“Parlimen Malaysia hanya mempunyai 10.4% wakil rakyat wanita iaitu 23 daripada 222 kerusi,” katanya.

Konvensyen Awan tetamu 2

TAGS