Malaysia Dateline

Bapa ahli politik MIC galak Santarasekaran bertanding di PRK Slim

Calon Bebas Santarasekaran Subramaniam, 44 beranggapan ketika ini adalah waktu terbaik untuknya bertanding dan menyertai politik mengikut jejak langkah ayahnya yang dahulu pernah menyertai MIC.

Beliau juga memaklumkan telah meletakkan jawatan sebagai seorang guru di sebuah sekolah terletak di Berang untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim melawan calon BN dan seorang lagi calon Bebas di bawah kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kenapa sekarang (sertai politik)? Ini kerana umur 40 tahun adalah umur terbaik. Sebab sekarang ramai yb yang bawah umur, tapi budak-budak.

“Ayah saya ahli politik di bawah parti MIC dahulu, dan mak saya pernah kerja di Istana sebagai pengiring Permaisuri,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya beliau kecewa tidak dapat bertanding dengan menggunakan logo pokok, tetapi terbuka untuk membawa logo buku.

Katanya, fokus utama adalah membangunkan kawasan Slim dan mendidik rakyat tentang penjagaan alam sekitar.