Bapa Altantuya sokong Azilah tidak dihukum gantung, ini kandungan surat Dr Shaariibuu

Oleh MALAYSIADATELINE

Mahkamah Persekutuan hari ini melepaskan pembunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu iaitu bekas Cif Inspektor, Azilah Hadri daripada hukuman gantung sampai mati. 

Sebaliknya, hukuman mati terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu digantikan dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh Altantuya, 18 tahun lalu.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang membenarkan permohonan semakan hukuman mati dikemukakan Azilah kini berusia 48 tahun.

Semasa hujahan semakan hukuman, panel berkenaan dimaklumkan bahawa bapa mangsa iaitu Dr Shariibuu Setev turut menyokong permohonan semakan Azilah untuk diberikan hukuman pemenjaraan atas dasar kemanusiaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Azilah, J Kuldeep Kumar yang membacakan surat kemaafan daripada bapa mendiang ketika prosiding di hadapan panel tertinggi itu dijalankan, lapor Malaysia Kini.

“Saya menulis untuk secara rasmi memohon pengampunan bagi hukuman Azilah Hadri, yang ditukar kepada penjara seumur hidup. Dia dijatuhkan hukuman mati pada 2006 atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu, seorang warganegara Mongolia.

“Saya telah menyentuh perkara ini dalam surat saya kepada perdana menteri anda. Penting untuk diakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan kesucian kehidupan, dengan menekankan semua makhluk di planet ini mempunyai hak untuk hidup.

“Permohonan saya lahir daripada rasa hormat mendalam terhadap kemanusiaan rakyat Mongolia,” kata Shaariibuu Setev, dalam surat yang dibacakan Kuldeep Kumar kepada Mahkamah Persekutuan memetik laporan Malaysia Kini.

Peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo mengesahkan perkara itu dan mengakui mempunyai salinan asal surat permohonan pengampunan hukuman tersebut.

Terdahulu, Azilah yang merupakan bekas komando polis itu membuat permohonan semakan hukuman mati susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lalu.

Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.

Sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki yang berusia di bawah 50 tahun berdepan dengan sebatan minimum sebanyak 12 kali.

Kira-kira 18 tahun lalu, Altantuya yang ketika itu berusia 28 tahun dibunuh di sebuah kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor pada Oktober 2006 sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Azilah kemudian disabitkan pada 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis iaitu Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi esoknya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota polis itu sementara penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan dari pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan oleh mahkamah sama.

Azilah dan Sirul Azhar kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengetepikan keputusan pembebasan tersebut dan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.

Sirul Azhar tidak hadir mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lalu.

Pada tahun 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya malah bekas anggota UTK itu dilaporkan turut memohon pengampunan diraja daripada Sultan Selangor.

Baca juga: Beg tangan Fazura semasa hadir prosiding cerai berharga RM50k?