Bapa beli 5 kipas untuk kelas anaknya bukti kegagalan pengurusan pendidikan

Oleh NASUHA RAHMAN

Bapa beli 5 kipas untuk kelas anaknya bukti kegagalan pengurusan pendidikan adalah isu besar yang perlu diberi perhatian segera.

Ini kerana banyak kelas di sekolah-sekolah kerajaan yang bermasalah dengan kipas angin dan lampu.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad mendedahkan masalah ini sering berlaku ketika menyelia latihan mengajar pelajar-pelajarnya di sekolah-sekolah.

“Bila tanya murid-murid dalam kelas, “dah lama kipas ini rosak”, biasanya jawapan yang saya terima sama sahaja, “dah lama cikgu”.

“Malah anak saya sendiri pernah lalui setahun berada di dalam kelas yang kipas angin tidak berfungsi.

“Malah apabila naik ke tahun seterusnya, satu hari bila beliau masuk semula ke kelas lamanya, kipas tersebutlah masih belum dibaiki!,”katanya.

Bagaimanapun katanya tindakan bapa ini yang membeli kipas angin dan sedekahkan pada sekolah adalah tindakan terpuji menandakan beliau mengambil berat tentang keselesaan dan kesejahteraan anak beliau serta rakan-rakan anak beliau di dalam kelas berkenaan.

Tapi katanya, dari sudut lain ini juga bukti kegagalan pengurusan sistem pendidikan dalam menguruskan kesejahteraan anak-anak di sekolah.

Bapa beli 5 kipas untuk kelas anaknya bukti kegagalan pengurusan pendidikan
Dr Anuar Ahmad

“Sekali lagi saya ulang, ini bukan kes terpencil.

“Selain kipas dan lampu, jika ada ibubapa yang ke sekolah anak-anak anda, lihat juga keadaan tandas murid-murid.

“Pengalaman saya melawat banyak sekolah, kebanyakan tandas kotor dan sangat hancing.

“Guru sendiri pun tak tahan. Sebab itu guru ada tandas guru dan dikunci setiap masa supaya murid-murid tidak curi masuk dan menggunakannya.

“Cuba anda tanya betul atau tidak, ramai murid sebenarnya lebih rela menahan diri dari buang air besar di tandas sekolah. Mereka lebih sanggup tunggu sampai balik ke rumah.

“Sejahterakah anak-anak kita untuk belajar di dalam bilik darjah dalam keadaan mereka terpaksa menahan perut yang meragam?

“Sejahterakah anak-anak kita yang terpaksa belajar dalam keadaan bilik darjah yang sesak dan panas kerana kipas angin rosak?

“Sejahterakah guru-guru kita mengajar dalam kelas kelas yang panas? Mengapa tak buat aduan?

“Apa gunanya ada PGB dan kakitangan am sekolah kalau mereka sendiri tak pantau? (Cumanya bila aduan dibuat selalunya mereka akan kata tiada bajet tukar kipas)

“Apa gunanya begitu ramai pegawai di PPD untuk pastikan setiap sekolah dalam keadaan terurus? (Cuma bila aduan dibuat selalu akan kata kena tunggu beli kipas secara pukal/tender).

“Apa gunanya begitu ramai pegawai di JPN? (bila aduan dibuat akan kata ini urusan PPD dan sekolah),” soal beliau.

Akhirnya kata beliau masalah sekecil kipas angin pun tidak dapat diselenggarakan dengan segera menggambarkan hakikat sebenar jika pemimpin pendidikan mahu tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku di bawah sana.

Menariknya, kata beliau apabila dengar Menteri dan rombongan akan turun ke sekolah, semua kerosakan akan siap dibaiki sebelum sempat kereta menteri sampai ke pintu pagar sekolah.

“Inilah budaya kita. Lemah…,” ujarnya lagi.

Semalam seorang bapa dilihat menjadi ‘penyelamat’ kepada anaknya selain murid-murid lain apabila bertindak membeli lima buah kipas untuk diletakkan di dalam kelas tersebut yang dikatakan panas serta tidak selesa.

Tindakan prihatin itu dibuat bapa pelajar terbabit selepas anaknya mengadu berasa panas di dalam kelas berkenaan yang hanya mempunyai tiga kipas sahaja manakala satu daripadanya mengalami kerosakan.

Menerusi hantaran video dibuat pemilik akaun TikTok bernama Hanafi Yahya, anaknya bernama Hariz yang belajar di Sekolah Kebangsaan Slim River, Perak mengadu panas dan berasa kasihan terhadap kawan-kawan serta guru yang berasa tidak selesa.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/bilangan-guru-prasekolah-perlu-ditambah-tingkatkan-kualiti-pendidikan-awak-kanak-kanak/

Baca juga: https://themalaysialife.com/tok-imam-keliru-nak-nikahkan-pasangan-sebab-nama-ayah-sama/