Rakyat Malaysia yang terkandas di Gaza sebelum ini, Nurul Ain Haron, 37 selamat pulang ke tanah air pada 14 November lalu.
Namun menurut cerita bapa kepada Nurul Ain, anaknya itu sehingga kini masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.
Memetik Berita Harian, Haron Hamim, 65, memberitahu anaknya memilih untuk tidur di ruang tamu dan mudah terkejut jika dibangunkan dari tidur.
“Saya sedih melihat keadaan anak saya, orang tak berhenti mengunjungi. Saya faham semua orang sama-sama gembira Nurul Ain sudah selamat pulang tetapi beliau masih trauma.
“Saya kejutkan dia pagi tadi untuk solat subuh, walaupun dengan sentuhan lembut, Nurul Ain terkejut dan hampir menjerit ketakutan,” katanya semalam.
Tambah beliau, ketika ditanya mengapa tidur di ruang tamu dan tidak di bilik, Nurul Ain memberitahu mudah untuk melarikan diri jika berlaku apa-apa.
“Sedih saya dengar anak saya jawab begitu, walaupun luaran dia nampak kuat, sebagai ayah saya tahu dia ketakutan, dia masih trauma,” katanya.
Nurul Ain dan suaminya warga Palestin, Muhammad Adnan Shaat, 33, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa, 14 November lalu setelah terkandas lebih 42 hari sejak 1 Oktober lalu di Khan Yunis, Gaza.
Nurul dan suaminya ke Gaza untuk menziarahi keluarga kerana suaminya sudah sembilan tahun tidak bertemu keluarga dan Nurul sendiri belum pernah bertemu keluarga mentuanya sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu.
Baca juga: Sesuai untuk mereka yang ada alahan, ini resipi Puding Karamel tanpa telur!