Bapa ini rela berhenti rokok serta-merta, nak derma buah pinggang untuk anak tersayang

Oleh WAN SITI AMINAH

“Kasih seorang bapa tiada penghujungnya”, itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan pengorbanan insan bergelar ayah kerana sanggup berhenti merokok demi kesihatan buah pinggangnya sebelum didermakan kepada anaknya.

Kisah yang berjaya mengundang sebak orang ramai itu dikongsikan oleh sang anak dikenali sebagai Zulkifli Ayub menerusi satu hantaran video tular di akaun media sosial TikTok miliknya, baru-baru ini.

Dalam rakaman tersebut, bapa Zulkifli kelihatan begitu bersemangat ketika melakukan latihan senaman paru-paru dengan menggunakan peralatan dikenali sebagai ‘spirometer’ walaupun usianya sudah senja.

“Ayah saya merupakan seorang bekas perokok yang sangat menggemari jenama Gudang Garam. Apabila mengambil keputusan untuk mendermakan buah pinggangnya kepada saya, ayah berhenti merokok secara serta-merta,” kongsinya dalam hantaran itu.

Difahamkan, Zulkifli yang bergelar doktor itu disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap akhir sejak 2020 lalu ketika masih mengikuti pengajian tahun ketiga dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan.

@dr.zulkifli

Tomorrow is the transplant day. May Allah ease everythings

♬ original sound – Zulkifli_Ayub – Zulkifli_Ayub

Meskipun terpaksa bertarung untuk mengimbangi proses rawatan haemodialysis tiga kali seminggu dalam tempoh empat jam sambil mengikuti pengajian, Dr Zulkifli berjaya menamatkan pembelajarannya dan memulakan tugas sebagai doktor perubatan pada 2023.

Dr Zulkifli bagaimanapun telah menerima buah pinggang baharu sebelah kiri daripada ayahnya sendiri dalam satu operasi pemindahan organ yang dijalankan pada 19 November.

Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok merasa sebak dan terharu di atas pengorbanan seorang bapa yang sudah dimamah usia namun sanggup mendermakan buah pinggangnya.

Ramai juga pengguna tidak melepaskan peluang untuk mengirimkan doa supaya kedua-dua beranak berkenaan dikurniakan kesihatan selain berkongsikan pengalaman serupa melibatkan ahli keluarga mereka sendiri.

“Kasihnya ayah. Demi anak sanggup berbuat apa sahaja. Semoga sihat-sihat sahaja keduanya selepas ini,” kata seorang pengguna yang terharu dengan pengorbanan bapa Dr Zulkifli.

“Semoga dipermudahkan urusan. Abang dan kakak saya juga buat pemindahan ginjal pada 2019. Alhamdulillah dua-duanya sihat. Kasih sayang tidak ternilai sehingga sanggup berkorban untuk tersayang.” Ujarnya.

Baca juga: Tutup mulut hal penceraian, Emma Maembong jaga hubungan baik dengan bekas suami