Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya yang di bawah umur pada 2017 dan 2018.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.
Surita menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala penjara lapan tahun dan satu sebatan serta tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan bagi pertuduhan kedua.
Bagaimanapun, tertuduh hanya menjalani hukuman penjara 18 tahun dan 13 sebatan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 April lepas.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun dalam sebuah bilik tidur di rumah mereka di Jempol dekat sini, pada 12.01 tengah malam antara 20 hingga 31 Dis 2017 mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang 10 sebatan.
Dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa yang ketika itu berumur 12 tahun dua bulan di lokasi dan waktu sama antara 11 hingga 30 April 2018, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama serta dibaca bersama Seksyen 16(a) akta sama.
Pertuduhan itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat mengikut Seksyen Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa cuba memberitahu perkara itu kepada ibu dan adik-beradiknya selepas kejadian, tetapi dinafikan tertuduh sehingga ibu mangsa tidak mempercayai mangsa.
Bagaimanapun, pada tahun ini, mangsa yang berusia 17 tahun memberitahu rakannya mengenai perbuatan tertuduh dan melaporkan kepada guru pada 3 April seterusnya membuat laporan polis pada hari sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana telah insaf dan menyesal dengan perbuatan keji yang dilakukan.
Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung yang mengendalikan kes itu memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran mengambil kira mangsa adalah anak kandung sendiri dan perlu bersifat melindungi selain kejadian itu akan menyebabkan trauma serius kepada mangsa dalam jangka panjang.
Baca juga: Mohon gugurkan 47 pertuduhan Zahid Hamidi kemukakan representasi kepada Peguam Negara