Bapa sanggup masuk sekali dalam mesin oksigen, teman anak buat rawatan sakit kronik

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang bapa memasukkan anaknya ke dalam sebuah mesin oksigen sebelum turut baring di sebelah kanak-kanak berkenaan tular di media sosial, baru-baru ini.

Mengundang tanda tanya, orang ramai merasa ingin tahu apakah tujuan mereka masuk ke dalam mesin berkenaan dan penyakit kanak-kanak yang terlihat tidak berdaya di dalam rakaman tersebut.

Rakaman berdurasi 33 saat yang dimuat naik di platform TikTok itu dimulakan dengan paparan si bapa memapah anaknya yang terlihat kaku, cengkung dan kurus untuk masuk ke dalam klinik.

Mereka berdua kemudian memasuki sebuah mesin yang membekalkan 100 peratus oksigen tulen di dalam ruang bertekanan lebih besar daripada atmosfera biasa untuk menjalani rawatan.

Difahamkan, anak sulung daripada tiga adik-beradik yang dikenali sebagai Mohamad Nur Iman Ramadhani itu sebenarnya menghidap penyakit gangguan saraf otak atau adrenoleukodystrophy.

Kanak-kanak itu lalu dimasukkan ke dalam mesin oksigen tersebut untuk menjalani rawatan alternatif iaitu Terapi Oksigen Hiperbarik atau ‘Hyperbaric Oxygen Therapy’ (HBOT) sebagai ikhtiar untuk memulihkannya.

@imanramadhanii

Ya Allah, permudahkanlah 🤲🏼 #fyppppppppppppppppppppppp #fyp #fypage #imanramadhani #fypp @drrazinjaafar @IRES Clinic

♬ Камин – DR3AM7NG

Namun apa yang membuatkan penonton merasa sebak adalah tindakan bapa Iman Ramadhani untuk masuk ke dalam mesin berkenaan demi menemani anaknya ketika mendapatkan rawatan.

Bapa Iman Ramadhani sememangnya dikenali sebagai sosok yang enggan berputus asa dan sering berkongsi di platform TikTok mengenai pelbagai rawatan alternatif dicubanya dalam ikhtiar menyembuhkan anaknya.

Tular di media sosial, perkongsian tersebut telah berjaya meraih 12.8 juta tontonan dengan rata-rata pengguna membanjiri ruangan komen untuk mendoakan supaya Tuhan mengurniakan kesembuhan kepada Iman Ramadhani.

Baca juga: “Ajar anak adab dulu baru bawa ke masjid” – Budak tarik kerusi orang tengah sembahyang, nasib baik ada tolong