Ramai kagum tengok bapa tunggal tak kekok di dapur, buat 2 kek untuk jamuan raya anak di sekolah

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang lelaki bergelar bapa tunggal sedang menyediakan kek di dapur kediamannya telah berjaya mencuri perhatian orang ramai, baru-baru ini.

Hal ini berikutan bapa tunggal terbabit terlihat langsung tidak kekok sebaliknya begitu mahir ketika membuat dua jenis pencuci mulut iaitu kek marble dan kek batik coklat itu tanpa bantuan sesiapa.

Berdasarkan keterangan video dimuat naik oleh bapa itu di platform TikTok, kedua-dua kek berkenaan disediakan atas permintaan anaknya yang mahu membawa pencuci mulut tersebut ke sekolah.

Menurut sang bapa, anaknya mahu membawa pencuci mulut tersebut ke sekolah pada keesokkan harinya untuk majlis jamuan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama guru dan rakan-rakan.

“Ayah, esok ada jamuan. Adik nak bawa kek ya (perbualan anaknya). Baik adik, nanti ayah buatkan. Biasalah, jamuan raya dekat sekolah. Janji adik seronok,” tulis sang bapa di keterangan video berdurasi dua minit tersebut.

Dalam rakaman tersebut, bapa berkenaan menunjukkan proses-proses penyediaan kedua-kedua kek itu daripada penyediaan bahan sehingga pembuatan adunan sebelum dimasukkan ke dalam loyang untuk dibakar.

@raziscleaning

Jamuan sekolah, kita buat kan kek marble n kek batik coklat..

♬ Curang LAKSAMANA – 🎀 ŞhคŞhค 🎀

Bapa itu juga sempat menunjukkan hasil pembuatan kek berkenaan di akhir perkongsian yang mana kedua-dua pencuci mulut tersebut sememangnya tampak cantik dan sudah tentunya menyelerakan.

Difahamkan, bapa tunggal itu sudah terbiasa menjalani peranan dengan menyediakan segala keperluan untuk kesemua anaknya termasuklah memasak semenjak isterinya meninggal dunia pada tahun 2023.

Perkongsian tersebut berjaya meraih sebanyak 342,500 tontonan daripada pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis yang mana rata-ratanya meluahkan rasa kagum dengan kemahiran bapa tunggal itu.

Ramai juga pengguna tampil mendoakan supaya segala urusan sang bapa dipermudahkan selain berharap anak-anaknya akan menghargai jasanya serta tidak lupa untuk menyantuninya apabila sudah dewasa kelak.

“Encik adalah ayah yang terbaik untuk anak-anak encik. Tahniah, Saya doakan semoga anak-anak menyantuni ayah mereka di hari tua kelak. Saya sendiri juga tak tahu buat kek,” kata seorang pengguna.

“Hebatlah abang! Masak boleh. Buat kek juga boleh. Semoga abang sentiasa dilindungi dan sentiasa berada di dalam rahmatnya.” Kongsi pengguna lain yang kagum melihat aktiviti harian bapa tunggal terbabit.

Baca juga: Pemuda ini kongsi kenapa sewa Vellfire lebih murah berbanding beli