Malaysia Dateline

Bara merah PTPTN kembali menyala

Bertalu-talu saya dihamburkan dengan tutur tidak enak berkait PTPTN sejak entah berapa bulan yang lalu.

Awalnya tentulah terganggu, namun lama-kelamaan tidak lagi begitu ambil pusing. Bukan kerana lali, tetapi kerana kesedaran mulai perlahan-lahan mendampingi saya semula.

Kesedaran ini terlalu lama rupanya saya diamkan dari benak fikiran, mungkin bertahun.

Kesedaran bahawa setiap hamburan perkataan tersebut tidak sedikit pun menyumbang kepada penyelesaian isu, tidak sedikit pun disusuli niat untuk memperbaiki keadaan.

Ia hanya lontaran emosi tidak stabil dari orang-orang yang membutakan hati mereka dari mengakui hakikat dan duduk letak perkara.

Hamburan kata kesat untuk mengubati hati mereka sendiri yang masih terluka dek kekecewaan lantaran kalah.

Saya akhirnya hanya karung pasir untuk ditinju kerana saya adalah sasaran yang mudah dan terdedah.

Maka apabila saya tersedar kembali dengan hakikat yang dahulunya mudah untuk saya sedari, tidak wajar untuk saya berkecil hati dan terganggu emosi terus-terusan lagi.

Kalau saya ingin membetulkan mereka; ia hampir menjadi pekerjaan yang sia-sia. Kalau diajak berdebat pun, mereka hanya akan mencarut.

Maka saya matikan emosi sempit ke atas mereka, dan maju terus dengan perkara dan hal yang sebenar.

Sejak berbulan-bulan, hal berkait PTPTN terus menjadi sorotan media baik arus perdana, arus melawan, mahupun media sosial. Ia isu yang mudah disensasikan.

Analogi lama yang dahulu saya gunakan, kini terpakai kembali. Sewaktu lama memperjuangkan kebebasan akademik, saya sedar ia adalah isu yang akan dipandang sepi.

Maka isu yang lebih dekat dengan perut diangkat agar sekurang-kurangnya masyarakat ambil pusing dengan ehwal seputar pendidikan kita.

Begitulah lahirnya perjuangan menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN.

Nak diceritakan semua, ruang ini tidak cukup.

Pokok perkaranya; ia bukan soal mempertahankan keingkaran dan sikap tidak amanah peminjam seperti yang disangka ramai termasuk Perdana Menteri Malaysia Baharu kita, sebaliknya soal prinsip bahawa pendidikan bukan ayam dan sayur untuk diperniagakan. Sektor pendidikan tidak harus dicemari dengan ketamakan pemodal.

Hutang wajib dibayar adalah hujah lemah untuk menidakkan tuntutan ini. Orang lupa bahawa yang berhutang itu berhadapan pula dengan amalan riba oleh kaum pemodal yang menekan mereka.

Apa pula hukum yang terguna pakai di sini? Ramai terlepas pandang hanya melihat perihal hutang perlu dibayar semula, tanpa pula mempersoal kenapa ada yang mengaut untung dengan memberi hutang kepada anak-anak yang hanya mahu menuntut ilmu?

Sepatah saya tuturkan di media sosial beberapa hari lalu sengaja mencuit situasi, menyatakan keprihatinan saya atas sikap menteri kita.

Sekonyong-konyong saya dijemput untuk bersama teman-teman lain ikut bertemu dengan menteri kita. Saya bukan orang yang tidak rasional. Saya terima dengan hati yang terbuka dan niat yang murni.

Saya sudah bertahun-tahun melihat isu PTPTN ini menjadi dolak-dalik politik yang merugikan, maka saya tuntaskan niat agar apa sahaja usaha baik bertemu menteri, berbicara dalam forum awam, perbincangan di meja makan, mahupun melalui penulisan haruslah untuk menyelesaikan isu ini, bukan mencari laba politik untuk kepentingan entah siapa.

Dalam pertemuan kurang lebih dua jam dengan menteri bertanggungjawab saya terima kenyataan yang ia tidak cukup dan hanyalah sebuah langkah kecil.

Telah disuarakan apa yang patut disuarakan. Telah ditegaskan apa yang patut ditegaskan. Berpanjang lebar tidak ada guna. Yang kita cari adalah agar setiap pihak mahu selesaikan kemelut yang timbul.

Menteri tidak banyak berjanji kali ini, katanya bukan soal tidak tertunai, tetapi takut tidak dipercayai lagi.

Kumpulan pelajar yang bersama kali ini tidak sama dengan yang pernah dikenali separuh dekad yang lalu. Mereka ini lebih vokal, lebih berideologi, lebih keras sikap ke atas individu yang dianggap lawan, seperti menteri sendiri.

Atau mungkin juga saya juga sudah dimakan usia sedikit sebanyak, jadi lupa andai dahulu kami juga begitu.

Tuntutan yang dibawa bukanlah perkara baharu, nahunya lebih kurang sama cuma konteksnya kali ini lebih jelas.

Yang dicadang dalam belanjawan baru ini (RM 1,000.00) sudah dinyatakan sebagai tidak munasabah dan tidak langsung bakal menyelesaikan hutang baik hutang pelajar mahupun hutang korporat PTPTN. Saya kira sekurang-kurangnya yang ini sudah difahami menteri.

Selebihnya adalah isu jangka panjang bagaimana kita seharusnya sudah mulakan rancangan untuk dilaksanakan pendidikan percuma sesuai hak anak semua bangsa.

Namanya pun jangka panjang ambillah masa sesuai keperluan, yang penting ia diletakkan sebagai sasaran.

Sikap pemerintahan yang lalu langsung tidak mahu mempertimbangkan idea ini, maka diharap yang ada hari ini tidak mengulangi sikap yang sama.

 

Seperti yang saya bilang awal tadi tidak cukup ruang ini untuk dibincangkan sedalam-dalamnya apa yang telah mengambil tempat.

Yang penting, saya kini mampu senyum apabila ia kini menjadi polemik yang dibincangkan semula. Isu yang hampir jadi hanya bara merah menunggu padam kini marak semula.