Malaysia Dateline

Barisan Exco sokong penuh MB Perak

Barisan Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Perak hari ini menetapkan pendirian bersama untuk menyokong penuh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Barisan 11 Exco yang juga Adun Pakatan Harapan itu menzahirkan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ahmad Faizal dan memberi jaminan bahawa Kerajaan Perak masih kukuh dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk terus mentadbir negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar bnadar dan Pembangunan Usahawan Datuk Asmuni Awi berkata, semua pihak, khususnya rakyat di negeri Perak perlu mengabaikan segala tohmahan dan fitnah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada kami untuk menggalas amanah melaksanakan tugas dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kami juga berjanji akan terus menjunjung mandat yang diberikan oleh rakyat negeri Perak untuk memajukan negeri seterusnya membawa kemakmuran bersama yang diusahakan kerajaan,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Beliau dipercayai mengulas mengenai penularan video tular pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai mengenai dakwaan kenyataan Pengerusi PH Perak itu, dengan pengundi mengenai sebuah parti komponen dalam PH ketika beliau mengikuti berkempen bersama calon PH Karmaine Sardini.

Bagaimanapun Ahmaf Faizal dalam kenyataan dipetik berkata, video yang tular itu tidak menggambarkan keseluruhan perbualan selama 20 minit kerana hanya petikan enam minit sahaja yang ditularkan.

Asmuni yang juga Adun Manjoi turut menyatakan penghargaan kepada semua exco dan Adun PH yang turut hadir dalam sidang media diadakan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Exco Kerajaan Negeri Perak dan Adun Pakatan Harapan yang bersama di dalam sidang media pada hari ini dan memberikan mandat kepada saya mengetuai sidang media ini.

“Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua media yang hadir di dalam sidang media ini.

“Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak khabar angin dan fitnah yang dilemparkan kepada pihak Kerajaan Negeri Perak dan cubaan untuk mengganggu gugat kestabilan pentadbiran Kerajaan di bawah Pakatan Harapan.

“Meskipun telah diperjelas beberapa kali sebelum ini sama ada di dalam dewan mahupun di luar dewan, namun usaha-usaha untuk mencipta dan merekayasa persepsi jahat kepada keutuhan kerajaan masih terus berlaku,” ujarnya.