Malaysia Dateline

Barisan kepimpinan baharu Amanah P. Pinang ikrar perkukuh parti

Barisan kepimpinan baharu Amanah Pulau Pinang  berikrar untuk memperkemas dan memperkukuh lagi parti itu agar terus memenangi hati rakyat, kata Pengerusinya Dr Roslan Ahmad.

Beliau berkata mereka juga akan menyusun pelbagai langkah untuk menghadapi Plihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Kami yakin dengan persediaan tiga tahun yang kami ada  kami dapat menyusun langkah-langkah, memperkemas parti di peringkat cawangan dan kawasan.

“Kami harap dapat ‘menerobos’ kawasan-kawasan sebelum ini yang mungkin merupakan kawasan kuat lawan kami, walaupun jumlah ahli kami setakat ini 2,000 di Pulau Pinang, kami akan menggerakkan peranan,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan barisan kepimpinan baharu Amanah Pulau Pinang pada Rabu.

Barisan kepimpinan baharu itu dipilih pada Konvensyen Amanah Pulau Pinang, 23 Nov lepas.

Sementara itu Naib Pengerusi 1 yang juga pengarah komunikasi  Amanah Pulau Pinang Dr Zaidi Zakaria berkata antara cabaran terbesar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan amnya ketika ini adalah untuk menangani berita palsu.

“Perkara-perkara ini boleh mengagalkan usaha membina negara yang inklusif, berintegriti dan gemilang di persada dunia,” katanya, dan seterusnya menggesa kerajaan mengambil tindakan yang tegas dan pantas terhadap mereka yang menyebabkan berita palsu.

— BERNAMA