Baru berusia 18 tahun anak gadis dah dituduh jadi penyondol, ini respon Abby Abadi

Oleh WAN SITI AMINAH

Menyedari anaknya kini menjadi topik hangat selepas dituduh menjadi ‘penyondol’, pelakon Abby Abadi tampil membuat satu kenyataan di akaun Instagram miliknya.

Tidak berdiam diri, Abby bagaimanapun akan membiarkan orang ramai membuat spekulasi sendiri terlebih dahulu sebelum tampil membuat penjelasan.

Abby juga menyifatkan tindakan orang ramai yang berkata buruk mengenai anaknya, Marissa Dania Hakim tanpa mengetahui perkara sebenar sebagai ‘mencari pahala’.

Tular di media sosial, kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pelakon itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram ‘Story’ miliknya, @mamayebbyyabadi.

“Tentang isu yang viral ini, tidak mengapa. Silalah komen-komen dahulu. Cari pahala ya, nanti saya jawab. 

“Memang sedap bersangka-sangka, menambah-nambah cerita dan menunding jari pada orang ini,” katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di laman media sosial X daripada seorang wanita beranak dua yang menuduh Marissa sebagai penyondol atau perosak rumah tangganya.

Menurut wanita berkenaan, suaminya dan anak gadis Abby yang berusia 18 tahun itu telah diberi peluang sebanyak tiga kali untuk mengakhiri hubungan namun tidak diendahkan.

Dakwanya, Norman dan Abby juga sudah tahu bahawa pendedahan ini bakal dibuat kerana sudah tiada penyelesaian untuk menghentikan perbuatan anak mereka.

Wanita tersebut juga telah membuat laporan polis kerana menurutnya, suaminya pernah menginap di hotel bersama Marissa ketika gadis itu berusia 16 tahun.

Dalam perkembangan sama, Abby turut mengakui bahawa dirinya pernah bertemu dengan wanita yang membuat dakwaan mengenai anak gadisnya itu.

Namun, pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu menafikan bahawa Marissa pernah bersumpah untuk meninggalkan suami wanita tersebut sambil menjunjung al-Quran.

Kenyataan Abby Abadi yang dimuat naik di Instagram ‘story’ miliknya.

“Ya, kami ada berjumpa. Waktu itu baru dimaklumkan hal ini (hubungan sulit). Memang masa itu tidak tahu cerita pun.

“Tapi bila bercerita (di media sosial) kata kami datang berjumpa untuk minta maaf? Itu yang malas bercakap, jadi geram dengan perangai manusia ini.

“Al-Quran itu? Yang pasti bukan dari pihak kami ya. Nak bercerita itu bagi jelas. Jangan buat orang tertanya-tanya dan bersangka-sangka.” Jelas Abby lagi.

Baca juga: “Berbaloi hantaran mahal,” aksi Intan Najuwa masak sup ikan jenahak buat suami sakit tuai pujian