Malaysia Dateline

Baru Bian kekal Ahli Parlimen Bebas

Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian menyatakan tetap kekal sebagai Ahli Bebas sekali gus menafikan bahawa dirinya telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu).

Menerusi Facebooknya, beliau memberitahu “Saya bukanlah sebahagian daripada kumpulan yang menyertai Bersatu”.

“Saya adalah Ahli Parlimen bebas dan saya komited untuk bekerja demi masa depan lebih baik kepada negeri ini dan rakyat Sarawak,” katanya ringkas.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara rasmi telah menyertai Bersatu.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, berkata, permohonan Azmin dan 10 yang lain untuk menyertai parti itu telah dipersetujui dan diterima dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu.

Baru yang juga bekas Menteri Kerja Raya sebelum ini pernah menjelaskan beliau bersama beberapa rakannya mengambil keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Kelapan selepas mengetahui Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempertahankan tugasnya untuk memimpin negara ini.

Susulan daripada itu, Baru bersama dua ahli PKR Sarawak, iaitu Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju keluar daripada PKR.

Namun, semasa kemelut politik pemilihan Perdana Menteri kelapan, Baru menandatangani Akuan Berkanun menyokong Dr Mahathir.