Malaysia Dateline

Baru Bian: Kekurangan dana disebabkan Kerajaan BN

Menteri Kerja Raya Malaysia mendakwa kedudukan kewangan yang dialami Kerajaan Persekutuan kini adalah diwarisi daripada kerajaan lama di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, katanya beberapa projek pembinaan jambatan di pesisir Sarawak tidak dapat dibiayai kerajaan pusat.

Jelas beliau, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab atas amanah diberikan rakyat, maka Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat meneruskan projek-projek berkenaan yang dilihat sekadar meluluskan sahaja.

“Adalah lebih tepat ialah kekurangan dana yang diwarisi daripada kerajaan BN yang hanya meluluskan projek tanpa melihat kedudukan kewangan.

“Bila kami mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kita lihat kedudukan kewangan amat teruk dan kita tidak mahu menjadikannya lebih parah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kuching hari ini.

“Kerajaan Persekutuan perlu berbelanja dengan berhemah kerana rakyat mengamanahkan untuk menguruskan dana untuk semua.

“Jangan sekadar meluluskan projek kerana hanya ingin popular, itu amalan kerajaan tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Baru turut berazam untuk melakukan tugas dengan baik selagi beliau Menteri Kerja Raya untuk membawa projek bukan sahaja infrastruktur tetapi (isu lain) di luar bandar seperti sekolah daif dan jalan di luar bandar,

Pada masa sama, beliau sangat kecewa apabila dikatakan ‘takut dengan bos’.

“Saya tidak takut dengan bos. Sebagai anggota kabinet atau Ahli Parlimen, kami berbincang sesuatu isu secara terbuka, dan tidak lihat pada satu perkara.

Tegasnya, adalah tidak adil untuk mendakwa wakil rakyat PH tidak berjuang untuk hak dan kepentingan Sarawak.

“Ini dapat dilihat dengan Peruntukan Khas untuk negeri ini yang meningkat berbanding sebelum ini.

“Ini hanya permulaan dan akan terus memperbaikinya,” ujarnya.

Sebelum itu, Baru bangun membantah istilah ‘takut dengan bos’ digunakan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Telian Yussibnosh Balo yang bertanya soalan mengenai jalan pesisir.