Malaysia Dateline

Baru Bian sertai PSB kerana kekangan masa tubuh parti baharu

Langkah bekas Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian bersama See Chee How mengambil langkah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) adalah kerana kekangan masa untuk mendaftar parti baharu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Baru, alasan utama adalah masa tidak menyebelahi beliau untuk mendaftarkan parti baharu sebelum PRN selain tidak mahu menimbulkan perpecahan lagi dalam kalangan rakyat negeri ini dengan membentuk parti baharu.

“Kami percaya bahawa parti baharu tidak diperlukan selepas mengetahui bahawa aspirasi PSB adalah sesuai dengan kami seperti yang dinyatakan dalam Visi Harapan saya untuk Sarawak Baru,” jelasnya yang juga merupakan bekas Menteri Kerja Raya semasa era Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, beliau bersama Chee How bersedia untuk berkongsi visi bersama dengan PSB terutamanya dalam konteks masyarakat berbilang budaya hidup dan bekerjasama dalam semangat penerimaan dan inklusif.

“Kami mahu Sarawak menjadi negeri model yang mana setiap individu dilayan sama rata tanpa mengira bangsa dan agama, selain ditadbir kerajaan yang bersih dan bebas rasuah,” kata beliau.

Sebagai rekod, Baru adalah antara Ahli Parlimen yang menyokong kem Azmin Ali dalam misi yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ sebelum berpaling tadah menyertai kem Tun Dr Mahathir pada krisis yang membawa kejatuhan Kerajaan PH tiga bulan lalu.