Baru faham kenapa kena daftar Budi Madani lepas Padu, ini penjelasan Fahmi Fadzil

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini timbul persoalan mengenai keperluan untuk mendaftar dalam program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) bagi memohon subsidi diesel bersasar.

Hal ini berikutan kerajaan telah meminta orang ramai membuat pendaftaran di Hab Pangkalan Data Pusat (Padu) pada awal tahun dengan tujuan yang sama (subsidi).

Tampil memberi penjelasan, Fahmi Fadzil selaku Menteri Komunikasi memaklumkan bahawa pendaftaran Budi Madani bertujuan merapatkan potensi jurang pada Padu.

Malah Budi Madani juga turut berfungsi sebagai inisiatif alternatif untuk individu yang mungkin terlepas tarikh akhir mendaftar Padu pada 31 Mac lalu, lapor Malaysia Kini.

“Budi Madani untuk mereka yang mungkin terlepas atau pun tidak atau belum lagi mendaftar dalam sistem Padu untuk mereka masukkan maklumat berkaitan,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.

Menurut Fahmi, Kementerian Kewangan dijangka akan mengadakan sesi bersama editor berita tidak lama lagi bagi menjelaskan butiran mengenai inisiatif baharu ini.

Program yang baru sahaja dilancarkan oleh kerajaan ini membolehkan individu termasuklah pekebun dan petani kecil memohon bantuan tunai bulanan yang berjumlah RM200.

Inisiatif ini selari dengan pelaksanaan subsidi diesel bersasar bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat pemansuhan subsidi menyeluruh.

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Petani, penternak dan pengusaha akuakultur bagaimanapun disarankan mendaftar di sistem GeoAgro terlebih dahulu sebelum membuat permohonan bagi Budi Madani.

Difahamkan, perlaksanaan subsidi bersasar ini mampu mengurangkan beban rakyat khusus daripada kumpulan berpendapatan B40 dan juga M40.

Baca juga: Petani dan penternak boleh mula mohon subsidi diesel, ini langkah serta syaratnya