Baru kahwin hampir 5 bulan, suami Kiah Propa meninggal dunia lepas berjuang lawan kanser

Oleh WAN SITI AMINAH

Suami kepada pengacara dan pelakon, Kiah Propa iaitu Nazri Ismail telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi tadi selepas empat bulan berjuang melawan kanser,

Khabar duka tersebut dikongsikan oleh Kiah atau nama sebenarnya, Siti Rokhaida Abdul Khalil menerusi satu hantaran video dimuat naik di akaun Instagram miliknya pagi tadi.

Dalam hantaran tersebut, Kiah turut memaklumkan bahawa suaminya yang menghidap penyakit kanser tahap empat itu menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya.

Menurut pelakon berusia 46 tahun itu, jenazah arwah suaminya difahamkan dikebumikan sebelum waktu Zohor di tanah perkuburan yang terletak di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.

“Mohamad Nazri bin Ismail iaitu suami saya baru sahaja meninggal dunia di IKN Putrajaya. (Allahyarham) akan ditanam di (tanah perkuburan terletak di) Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Insya-Allah sebelum Zohor akan bertolak dari IKN ke Masjid Saujana Utama Sungai Buloh, Selangor (untuk disembahyangkan),” kongsi Kiah menerusi hantaran yang dimuat naik Instagram itu.

Terdahulu, kisah pasangan suami isteri berkenaan mula mencuri perhatian ramai selepas Kiah mengakui terbuka hati untuk mendirikan rumah tangga semula dengan bekas suaminya selepas lapan bercerai.

Keputusan itu dipercayai dibuat selepas Allahyarham disahkan menghidap penyakit kanser leher dan kalenjer air liur tahap empat pada tahun lalu yang mana sel barah dikatakan merebak ke organ lain dengan pantas.

Pernikahan mereka yang dilaksanakan pada 16 November tahun lalu juga bertujuan untuk menghalalkan hubungan mereka supaya Kiah dapat menjaga suaminya itu tanpa batasan aurat mahupun sentuhan.

Kiah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Nazri pada 2011 namun bahtera perkahwinan itu hanya bertahan selama beberapa tahun sebelum mereka berdua mengambil keputusan untuk bercerai.

Hasil perkongsian hidup bersama di dalam perkahwinan sebelum ini, Kiah dan Nazri dikurniakan rezeki dengan kehadiran dua orang cahaya mata perempuan sebagai penyeri rumah tangga mereka.

Baca juga: Tahun pertama Raya tanpa arwah bapa, Sharnaaz akui sebak nak duduk lama-lama kat rumah