Malaysia Dateline

Baru malam ini nak respon, kata Cikgu Fadli kepada Radzi Jidin selepas keluar surat panjang

Selepas seorang guru, Cikgu Mohd Fadli Salleh membuat surat panjang kenapa beliau mahu dipecat dari menjadi seorang guru, dan mendapat lebih 17,000 komen serta lebih 52,000 perkongsian di media sosial, barulah Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin menjawabnya.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” kata Radzi melalui facebook beliau.

Cikgu Fadli sendiri mengaku, ramai wartawan mahu berjumpa beliau namun beliau menolaknya dengan alasan beliau masih kakitangan awam dan terikat dengan peraturan.

“Ramai wartawan dan rakan-rakan media cuba hubungi saya untuk temubual.

“Maaf rakan-rakan media sekalian, saya masih penjawat awam. Saya tak boleh bersiaran atau mengeluarkan kenyataan pada pihak media tanpa kelulusan KPM,” kata Cikgu Fadli.

Beliau juga berkata, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin juga ada tag beliau dalam postingnya.

“Nak jumpa bincang isu yang saya sebut katanya.

“Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di post beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali.

“Baru malam ini ada respon,” kata Cikghu Fadli.

Cikgu Fadli berkata, beliau tidak membuat apa-apa kesilapan, hanya meminta perkara yang silap diperbetulkan.

“Saya berkata jujur tentang apa sampai nak kena buang kerja tu?

“Saya bercakap tentang:

  1. Beg berat bahaya pada anak-anak kita
  2. Silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri.
  3. Bilangan murid yang ramai dalam kelas.
  4. Subjek yang banyak murid belajar.
  5. Masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi.
  6. Adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak.

“Itu yang saya tulis,” kata Cikgu cemerlang dari Sekolah Kebangsaan Gombak (1) itu.

Surat KPM kepada Cikgu Fadli. Klik untuk baca penuh.

Dalam postingnya, Cikgu Fadli juga mengepilkan surat “Tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat” yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia kepada beliau.