‘Baru nak rasa dunia gelap seketika, ada pula cabut tin’ – Nampak mungkin remeh, netizen kongsi pengalaman selamatkan binatang

Oleh ARIF ATAN

Tindakan seorang lelaki cuba mencabut tin yang tersangkut di kepala seekor biawak menarik perhatian orang ramai termasuk ada yang berseloroh menganggap binatang itu mungkin baru nak rasa dunia gelap seketika.

Cubaan pemuda lengkap berbaju Melayu dan berkain samping berkenaan menarik tin itu kemudiannya berjaya selepas beberapa kali berbuat demikian dengan langkah yang dilihat amat berhati-hati.

Dalam masa, terdapat juga netizen berkongsikan pengalaman mereka dalam usaha menyelamatkan binatang.

Pengguna Facebook, Nurlysa Ali misalnya memberitahu dia pernah cuba menanggalkan bekas plastik yang katanya mungkin empat ke lima hari melekat di kepala seekor anak anjing.

“Dia tak boleh makan minum. Puas kejar tak dapat-dapat. Nekad juga nak tolong dia, kejar dan tangkap dia.

“Keluarkan bekas plastik tu dekat kepala dia. Alhamdulillah dapat tolong dia,” kata Nurlysa.

Sementara itu, seorang lagi warganet menceritakan bagaimana dia cuba mencabut bekas tin dari kepala biawak yang berada dalam parit.

“Saya di atas parit. Tengok kuku dia seram. Cuba elak-elak juga takut dia mengamuk. Setengah jam jugalah nak keluarkan (bekas tin).

“Dapat keluarkan tin itu pun sebab dia buat-buat mati. Langsug tak gerak. Ingatkan dah mati. Cuba juga tarik, dapat keluarkan juga akhirnya.

“Berkelip-kelip mata dia pandang saya. Lepas itu, terus lari. Siap toleh belakang tengok saya kejap, mungkin ucap terima kasih agaknya,” cerita netizen itu lagi.

Baca juga ‘Sampah buang lagi merata’, usaha menyelamat burung tertelan botol plastik tarik perhatian

Baca juga Buat perniagaan mesin layan diri, Zul Ariffin jumpa rumah 5km dari Masjidil Haram