Malaysia Dateline

‘Baru perasan Exco pembangunan wanita di Terengganu dipegang seorang lelaki’

Sejak kebelakangan ini, negeri-negeri di Pantai Timur menjadi perhatian terutama Terengganu yang sejak semalam gempar dengan dakwaan Menteri Besar mereka melancong ke luar negara ketika negeri itu dilanda bah besar.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan terbang ke New Zealand namun tidak dapat dipastikan atas urusan rasmi atau tidak. Bagaimanapun dimaklumkan, beliau mempunyai dua anak yang menetap di sana.

Susulan perhatian yang diterima, warganet turut membangkitkan semula isu barisan Exco Terengganu yang dikatakan tidak melibatkan seorang pun wanita di dalamnya.

Berdasarkan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tersebar di media sosial, dapat dilihat portfolio yang menjaga hal ehwal wanita dipangku Hanafiah Mat.

Hanafiah Mat memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Pembangunan Nasional sejak 2018.

“Baru perasan Exco Pembangunan Wanita kat Terengganu seorang lelaki. Hanafiah Mat. Teringat zaman Najib lantik diri sendiri jadi Menteri Wanita.

“Bahkan barisan EXCO Terengganu satu wanita pun tiada. So much for “MB Teknokrat” konon,” tulis seorang pengguna Twitter @adrianlimcheeen.

Untuk rekod, lima Ahli Parlimen wanita diberi kepercayaan untuk menerajui Kerajaan Perpaduan sebagai menteri, manakala lapan wanita dilantik sebagai timbalan menteri.