Baru semak skala miskin tegar, Malaysia berpendapatan tinggi tahun 2025?

Oleh ARIF ATAN

2025 Malaysia akan (benar-benar) jadi negara berpendapatan tinggi.

Marilah kita aminkan hasrat ini. Tidak salah untuk berniat baik. Moga kita ikhlas.

Suatu ketika, delegasi lawatan dari Malaysia bertanya kepada pegawai di Sweden tentang rahsia mereka memerangi rasuah begitu berjaya sekali.

Rahsianya?

Jawab Sweden, mereka tidak perlu kepada agensi berlapis-lapis seperti di Malaysia yang bermula dengan SPRM, GIACC, EAIC, IIM dan unit di dalam setiap kementerian. Ya, saya ulang. Setiap kementerian.

Lima lapis agensi untuk pelbagai keperluan memerangi rasuah. Baru saja diberitakan kedudukan kita merudum lagi.

Mungkin kerana itu ada saranan Speaker dewan agar diwujudkan Jawatankuasa Khas hanya untuk memantau SPRM. Kemudian kita perlu unit tindakan khusus pula untuk mengukur keberkesanan Jawatankuasa Khas itu nanti, barangkali.

Tetapi, Sweden tidak perlu itu semua. Ini kerana sistem mereka sudah cukup untuk cekup pesalah.

Tiada ketirisan, tiada kayangan. Gaji tinggi. Kemudahan dan jaringan keselamatan juga unggul. Khidmat kesihatan. Pengangkutan awam. Tiada rungutan.

Di sini, kita baru saja semak semula skala miskin tegar dua tahun lalu dan berani pula berjanji tiga tahun lagi, menjelang 2025, kita akan kali ini benar-benar jadi negara berpendapatan tinggi.

Kali ini pasti. Insya Allah. Bukan seperti angan-angan 2020 dahulu. Itu janji Perdana Menteri keempat. Kita sudah lima kali bertukar PM. Tak kanlah tak berubah-ubah juga. Pasti!

Kalau umur panjang, saya harap media sosial akan angkat semula hantaran saya yang ini, dua tahun lagi.