‘Baru setahun setengah, kalau tanam durian pun belum berbuah’

‘Baru setahun setengah, kalau tanam durian pun belum berbuah’

Terus menarik perhatian khalayak, ucapan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu seperti lazimnya dilihat mengundang minat pendengar dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Kukup malam ini.

Menteri Pertahanan tersebut menyeru pengundi memberikan maklumat tentang siapa parti pemerintah kepada generasi warga emas di Parlimen Tanjung Piai.

Beliau menegaskan PH yang terdiri daripada Bersatu, AMANAH, PKR dan DAP merupakan blok parti pemerintah sama ada di Putrajaya dan Negeri Johor pada masa ini.

“Beritahu pakcik makcik di kampung, kerajaan sekarang adalah kerajaan Pakatan Harapan di persekutuan dan negeri,” ujarnya.

Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu turut mengingatkan tentang perubahan yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lalu bukan mengambil tempoh singkat untuk dilaksanakan.

“Baru setahun setengah kalau tanam durian pun belum berbuah,” katanya lagi serentak disambut tepukan dan ketawa oleh khalayak di Terminal Bas Kukup.

Ceramah Perdana PH dengan kemuncaknya bakal menyaksikan penampilan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir merangkap Pengerusi PH di pentas kempen pada hari ke-12 ini dihadiri lebih 1,000 orang.

Pemimpin tertua di dunia itu tiba di lokasi ceramah bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada jam 10.05 malam tadi diiringi kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi.

PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai dengan pembuangan undi pada 16 November ini merupakan pesta demokrasi kesembilan selepas PRU-14.

PH sebagai penyandang P165 menampilkan calon veteran dari Bersatu, Karmaine Sardini di kerusi marginal yang merekodkan jumlah pengundi Cina mencecah 42 peratus.