Mereka yang baru mula mengamalkan gaya hidup sihat pastinya merasa tertekan dalam mencari resepi berkhasiat namun enak dimakan.
Sangat sukar untuk didapati di pasaran tempatan, menu sihat juga kebiasaannya dijual dengan harga yang mahal dan ‘tidak mampu milik’ bagi masyarakat Malaysia.
Menyedari keresahan ini, seorang pengguna Facebook tampil berkongsi resepi dipelajarinya untuk kegunaan orang ramai iaitu Patti Ayam buatan sendiri versi sihat.
Bukan sahaja mampu memikat selera, resepi ‘diet’ dikongsi oleh Azrie Nadia ini juga sesuai bagi mengisi perut mereka yang bersenam untuk menurunkan berat badan.
“Tak sangka buat macam ini sudah sedap. Kalau kering idea nak makan apa, boleh cuba resepi mudah ini. Sesuai bagi mereka yang sedang diet atau mahu makanan sihat,” katanya.
Bahan-bahan:
- Sayur brokoli, lobak merah dan jagung
- Dada ayam
- Kicap
- Tepung ubi kayu
- Lada sulah
- Garam
Langkah-langkah membuat Patti Ayam
1. Basuh dan potongkan kesemua sayur-sayuran dalam bentuk dadu.
2. Kisarkan dada ayam tanpa tulang sehingga hancur.
3. Kemudian, letakkan isi ayam yang telah kisar di dalam satu bekas. Sayur-sayuran yang telah dipotong dadu tadi boleh dicampurkan ke dalam bekas yang sama.
4. Selepas itu, tambahkan dua sudu kicap, sedikit tepung ubi kayu, satu sudu lada hitam dan juga satu sudu garam.
5. Gaul kesemua bahan sehingga rata. Kemudian, rasa dahulu adunan tersebut dan tambahkan bahan yang anda inginkan mengikut selera (tepung, lada atau garam).
6. Bentukkan adunan tepung menjadi bulat-bulat seperti patti burger.
7. Patti anda sudah siap untuk dipanggang atau dimasakkan di dalam kuali di atas dapur menggunakan api yang sederhana besar.
8. Sedia untuk dinikmati seisi keluarga! Jika anda terlebih buat patti, boleh simpan sebahagian di dalam bekas dan masukkan di dalam peti sejuk. Kalau nak makan nanti goreng sahaja!
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada pembaca.
Baca juga: Tak sampai 30 minit kerak 10 tahun dekat kuali hilang! Wanita kongsi hanya guna 1 bahan sahaja