Baru tahu ada cara elak sambal merecik ketika menumis, ikut 7 tips ini kalau tak nak dapur kotor!

Oleh WAN SITI AMINAH

Tumisan minyak terpercik di dinding dapur adalah salah satu masalah yang sering dihadapi suri rumah ketika memasak hidangan berasaskan sambal.

Apabila melihat kesan percikan warna merah mengotori dinding, pasti wujud rasa tertekan hingga menjadi punca mengapa hidangan sambal ini jarang dimasak oleh suri rumah.

Mana tidaknya, proses mencuci bagi memastikan dinding dapur bersih daripada sisa kotoran yang disebabkan oleh percikan sambal ini memerlukan tahap kesabaran tinggi.

Prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh suri rumah, seorang guru mata pelajaran sains tampil berkongsi tips bagi mengelakkan minyak sambal terpercik di dinding.

Menurut hantaran yang dikongsi di kumpulan Facebook Majalah Sains, masalah ini berpunca dari ketidaklarutan bahan di dalam masakan terutamanya air dan minyak.

Justeru itu, berikut beberapa tips yang boleh dipraktikkan suri rumah ketika menumis sambal untuk mengelakkan percikan tumisan minyak daripada mengotori dinding.

1. Kisar bahan-bahan dengan minyak. Langkah ini untuk mengurangkan kandungan air dalam tumisan sambal.

2. Kecilkan api bagi mengurangkan tenaga kinetik molekul-molekul dalam masakan. In kerana semakin tinggi suhu, semakin tinggilah tenaga kinetik molekul

3. Pilih kuali yang kalis lekat (non-stick) ketika memasak sambal. Ini kerana selaput kalis lekat mengurangkan kadar pengaliran haba ke komponen masakan.

4. Menggunakan kuali yang lebih besar. Logiknya, saiz yang besar berupaya menampung luas permukaan percikan.

5. Jika komponen sambal mengandungi banyak air, maka tumis tanpa minyak dahulu bahan kisaran itu sehinggalah sebahagian air tersejat. Kemudian baru masukkan minyak dan tumis seperti biasa.

6. Paling mudah, gunakan penutup periuk ketika percikan sudah mula kelihatan. Namun, disarankan menggunakan penutup periuk yang mempunyai lubang kecil bag membebaskan wap air.

7. Menambahkan bahan berasid seperti asam jawa, cuka atau asam keping. Langkah ini boleh mempercepatkan kadar air meruap daripada masakan sekali gus proses ‘pecah minyak’ cepat berlaku.

Namun perlu diingatkan untuk tidak masukkan bahan-bahan di atas secara berlebihan kerana dibimbangi mengganggu keseimbangan rasa sambal.

Baca juga: “10 tahun aku cintakan dia, tak pernah sekali pun dia bagi jawapan jelas, akhirnya dia pilih wanita lain”