Baru tahu ada cara elak semut bersarang dalam soket, ikut nasihat ‘Abang Pest Control’ ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Kehadiran serangga kecil seperti semut di persekitaran dalam rumah sudah tentunya menimbulkan rasa tidak selesa daripada pemilik kediaman.

Tidak hanya memburu sisa-sisa makanan terutamanya yang manis, semut juga suka bersarang di dalam soket elektrik sehingga menyebabkan peralatan tersebut rosak.

Menimbulkan tanda tanya, lelaki dikenali sebagai Naim Pest Control tampil memberi penjelasan berhubung punca serangga berkenaan ‘berumah’ di dalam soket elektrik.

Pemuda yang cukup berpengalaman di dalam bidang kawalan serangga perosak itu turut berkongsi panduan mangatasi masalah ini menerusi satu hantaran di laman TikTok.

Menurut Naim, soket elektrik di dalam rumah merupakan laluan yang paling selamat untuk serangga kecil tersebut mencari tempat perlindungan dan sumber makanan.

“Semut berada di dalam rumah kerana ada dua sebab. Pertama, nak mencari tempat perlindungan. Sebab yang kedua tentunya adalah untuk mencari sumber makanan.

“Dalam rumah kita, laluan yang selamat untuk digunakan oleh semut ini adalah dekat ‘point’ soket. Sebabnya, kalau dapat masuk ke dalam satu point soket, semut boleh keluar dekat seluruh rumah kita.

“Kerana point soket ini bercantum. Masuk dalam satu suis, boleh keluar di bilik tidur, bilik air, dapur dan seluruh rumah. Jadi mudahlah nak cari perlindungan dan sumber makanan,” katanya.

@khairunnaim4

Replying to @Harith.Pahan00 cara paling berkesan utk eliminate masalah semut dalam plugpoint.

♬ original sound – NAIM PEST CONTROL – NAIM PEST CONTROL

Dalam perkongsian itu, Naim turut berkongsi panduan yang betul untuk menghapus semuat tanpa menyebabkan kerosakan pada soket atau sistem pendawaian elektrik.

Jelasnya, penggunaan racun yang diperbuat daripada bahan kental seperti gel lebih selamat malah mampu menyingkirkan seluruh koloni semut di laluan soket tersebut.

“Pertama kita kena ingat, jangan menggunakan racun yang bersifat cecair. Sebab kalau kita sembur racun itu pada soket, boleh menyebabkan litar pintas. Sudahnya kena buat pendawaian elektrik semula satu rumah.

“Oleh itu, kita disarankan untuk menggunakan racun jenis gel. Apabila kita titiskan di satu ke dua tempat, semut akan tertarik kepada gel tersebut. Semut akan makan dan bawa ke sarangnya.

“Dengan cara ini, kita dapatlah menyingkirkan keseluruhan koloni semut yang ada di dalam soket.” Ulasnya yang sudah mula berjinak-jinak di dalam bidang kawalan serangga seawal usia 16 tahun.

Baca juga: “Baru 3 tahun kahwin suami dah mula tunjuk baran, bilik tidur pun dah asing, sampai aku disahkan kemurungan…”