Baru tahu ada cara ‘express’ buat dodol, tak perlu kacau berjam-jam pun menjadi!

Oleh WAN SITI AMINAH

Dodol merupakan salah satu jenis manisan atau kuih tradisional yang masih digemari oleh segenap masyarakat Melayu tanpa mengira umur mahupun generasi.

Walaupun bahan untuk membuat kuih ini tidaklah terlalu banyak, namun prosesnya yang rumit dan memakan masa menyebabkan orang ramai putus asa membuatnya.

Oleh kerana itulah, kebanyakkan orang lebih gemar membeli ataupun menempah kuih ini daripada penjual berbanding cuba untuk menyediakannya sendiri di rumah.

Menyedari hal ini, seorang wanita dikenali sebagai Suzana Nurin Iham berkongsi ilmu dalam menyediakan kuih dodol dengan cepat namun rasanya dijamin menyelerakan.

“Dodol buatan sendiri kesukaan anak-anak. Apabila anak-anak puji sedap, hilanglah rasa penat masa mendayung kacau dodol. Di sini saya kongsikan resepi dodol yang terlajak sedap.

“Kalau guna periuk nasi serbaguna itu, boleh kukus selama 10 minit sahaja. Tetapi yang saya punya rosak, jadi guna periuk anti lekat juga boleh sahaja,” tulisnya dalam satu hantaran di platform Facebook.

Cara-cara buat kuih Dodol buatan sendiri

Bahan-bahan:

  • Satu kilo gula merah
  • Lima cawan air
  • Satu kilo santan
  • 500 gram tepung pulut
  • Empat sudu besar tepung beras
  • Secubit garam

Cara-cara:

1. Masakkan gula merah bersama lima cawan air sehingga mendidih. Selepas itu, api boleh dimatikan dan tapiskan adunan yang sudah masak. Biarkan ia sejuk dahulu.

2. Setelah sejuk, adunan itu boleh dicampurkan dengan santan, tepung pulut, tepung beras bersama secubit garam. Jangan lupa hidupkan api dan masak hingga pekat.

3. Adunan perlu dikacau hingga pekat dalam tempoh yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit sekiranya periuk anti lekat digunakan.

4. Namun jika dodol tersebut dimasak di dalam periuk nasi serbaguna, adunan hanya perlu dikukus selama 10 minit. Kemudian, tekan tetapan ‘stir-fry’ lalu kacau sehingga masak.

“Sekiranya menggunakan resepi ini, boleh dapat dua kilo lebih dodol!,” jelasnya yang membuat perkongsian menerusi kumpulan Facebook iaitu Berkongsi Ilmu Kuih Muih dan Masakan (BIKMM).

Baca juga: Kulit popia jadi keras? Jangan buang! Ini cara nak lembutkan ia semula