Baru tahu ada petua orang lama pulihkan demam tanpa ubat, hanya perlu 2 bahan!

Oleh WAN SITI AMINAH

Meskipun kedengaran seperti tidak logik, namun terdapat segelintir orang di muka bumi ini tidak boleh menelan ubat ketika sakit seperti demam dan sebagainya.

Berusaha mencari pelbagai alasan untuk mengelak, ada sesetengah individu lebih rela menahan sakit daripada perlu menelan ubat yang begitu pahit bagi mereka.

Tidak perlu lagi menahan rasa sakit kerana fobia menelan ubat, berikut kami kongsikan petua orang lama untuk memulihkan demam dengan cara semulajadi.

Petua yang pernah tular di media sosial ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Leha Yusuf sebagai ikhtiar untuk menurunkan suhu ketika demam.

“Petua untuk demam memang banyak. Biasanya Akak memang sebolehnya elakkan makan ubat. Bukan takut menelan ubat, cuma tak berapa suka sahaja.

“Jadi kalau saya demam, memang rajinlah buat ikut petua daripada arwah Mak dan daripada bahan bacaan lain juga. Petua kali ini Akak hanya guna dua bahan sahaja.

“Mudah dan paling ringkas. Insya-Allah berkesan juga,” tulisnya menerusi satu hantaran khusus untuk mereka yang mengalami demam menerusi akaun Facebook.

Bahan-bahan:

  • Satu senduk kecil Beras Barli
  • Setengah batang Kayu Manis

Cara-cara:

1. Masukkan beras barli yang telah dibasuhkan ke dalam air sebelum tambahkan dengan apa-apa jenis kayu manis.

2. Kemudian, rebuskan kedua bahan tersebut sehingga beras barli kembang dan lembut.

3. Untuk rasa yang lebih enak, hasil rebusan itu bolehlah ditambahkan dengan sedikit madu dan lemon ketika mahu meminumnya.

“Boleh terus minum semasa air suam atau biarkan sejuk seketika. Nak tambah ais pun boleh juga. Ikut kepada tekak masing-masing.” Ulas wanita berkenaan.

Diharapkan, perkongsian petua orang lama untuk tujuan menurunkan suhu mereka yang mengalami demam ini dapat memberikan manfaat kepada orang ramai.

Baca juga: Suami malu orang rumah pakai tudung labuh bidang 60, isteri keliru nak taat arahan suami atau tidak