Petai atau nama saintifiknya, Parkia speciosa merupakan sejenis ulaman yang begitu diminati oleh penduduk di benua Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Sinonim dengan aroma yang sangat kuat dan kurang menyenangkan, namun ulaman ini cukup digilai oleh penggemarnya selain memiliki manfaat untuk kesihatan badan.
Walau bagaimanapun, penggemar yang membeli tumbuhan ini dalam kuantiti yang banyak pasti merasa kesal jika ulaman itu tidak mampu bertahan lama atau rosak.
Khusus buat mereka yang masih mencari cara untuk menyimpan petai dalam tempoh masa panjang, berikut kami kongsikan dua petua berdasarkan artikel Hello Doktor.
- Kaedah bilas petai dengan air
1. Masakkan air kosong sehingga mendidih. Kemudian, kupaskan biji petai daripada kulitnya dan basuh hingga bersih.
2. Masukkan ulaman yang telah dikupas itu ke dalam mangkuk. Selepas itu tuangkan air panas ke dalamnya. Kacau selama tiga hingga lima minit dengan berhati-hati.
3. Toskan air. Langkah seterusnya, sediakan ais batu dan air sejuk dalam bekas lain. Kemudian masukkan ulaman itu dalam bekas berisi air ais tersebut.
4. Kacau dengan sudu selama dua minit. Lalu toskan dan lap petai dengan tisu dapur hingga benar-benar kering. Masukkan ke dalam beg plastik atau bekas kedap udara.
5. Simpan dalam bahagian sejuk beku peti ais. Boleh tahan sehingga satu tahun.
- Kaedah beku memastikan petai kekal segar
1. Kupaskan kulit dan buang selaput yang menempel pada buah petai. Sediakan air garam kemudian rendamkan ulaman dalam larutan itu selama 10 hingga 15 minit.
2. Bilas dengan air bersih dan toskan. Masukkan ke dalam bekas kecil dan bekukan tanpa memasukkan air ke dalam bekas.
3. Sekiranya petai yang sudah dibekukan itu mahu digunakan sebagai bahan masak, sebaiknya rendam dahulu ulaman di dalam air biasa untuk menyahbekukannya.
Baca juga: Rupanya ini cara berjimat kalau pakai penghawa dingin, bil turun mendadak lepas amalkan!