Satu rakaman yang diambil selepas insiden gerabak roller-coaster tergelincir di tapak pesta ria (fun fair) di Raub, Pahang telah tular di media sosial, baru-baru ini.
Mengundang perbincangan hangat, video yang dikongsi di laman Facebook itu turut memaparkan beberapa mangsa termasuk kanak-kanak sedang mengadu kesakitan.
Bukan itu sahaja, penonton video berkenaan juga dapat mendengar jeritan seorang wanita yang tidak mampu lagi menahan kesakitan akibat dari kemalangan tersebut.
Tanpa keterangan lanjut, pemilik akaun Kumpulan Penduduk Raub Pahang itu hanya menulis kapsyen, “Pesta ria Raub apa cerita? Orang tercampak naik Roller Coaster.”
Pengguna media sosial akhirnya mendapat jawapan selepas salah seorang mangsa dikenali sebagai Nur Izzati Mohamed Kamil meninggalkan komen di video tersebut.
Menurut Izzati, dia mengalami patah tulang rusuk manakala bahagian lutut anaknya pula bengkak setelah gerabak dinaiki mereka tiba-tiba tergelincir daripada landasan.
Jelasnya lagi, pihak pengurusan pesta ria itu juga telahpun menghubunginya selepas insiden berlaku dan berjanji akan bertanggungjawab di atas kecederaan dialaminya.
“Saya mangsa insiden roller-coaster di Raub berada di dalam keadaan baik kecuali tulang rusuk patah. Lutut anak saya pula bengkak yang menyebabkan kesukaran untuk bergerak.
“Kami telah berhubung dengan pihak pengurusan dan mereka juga telah mengambil tanggungjawab ke atas saya dan anak. Mereka juga datang berjumpa kami untuk memohon maaf,” tulisnya di ruangan komen.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial meluahkan kekesalan mengenai tahap keselamatan binaan alat permainan di pesta ria terbabit.
Berpendapat kemalangan tersebut tidak sepatutnya berlaku, ramai pengujung turut menyelar tindakan penyedia permainan yang mengenakan bayaran setinggi RM10.
Selain berkongsi perasaan lega kerana tidak berkunjung ke pesta ria itu, beberapa individu turut memberi cadangan agar mangsa mengambil tindakan undang-undang.