Baru tahu beras ada kegunaan lain termasuk buat baja, jangan buang kalau rosak!

Oleh WAN SITI AMINAH

Tahukah anda, beras putih kering yang menjadi makanan ruji masyarakat Malaysia hanya mampu bertahan selama dua tahun sebelum rosak sekiranya disimpan dalam suhu biasa.

Perkara itu didedahkan oleh pihak Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran tular di platform Facebook ketika berkongsi beberapa fakta-fakta penting mengenai beras.

Dalam hantaran tersebut, PHM turut berkongsi panduan untuk mengenal pasti beras yang sudah rosak dan tidak boleh dimakan serta kegunaan lain jika bekalan makanan tersebut sudah tamat tempoh.

Jelasnya, beras putih kering hanya boleh bertahan selama dua tahun sekiranya disimpan dalam suhu bilik manakala beras perang pula boleh dimakan di dalam tempoh enam bulan sahaja.

PHM dalam hantaran yang sama turut memaklumkan bahawa kerosakan beras juga boleh dikesan lebih awal melalui perubahan bau, rasa atau tekstur selain pertumbuhan kulat serta pepijat.

“(Sekiranya dapat dikesan), elakkan memasak dan makan beras tersebut. Manakala untuk menghindar pembaziran, beras rosak boleh diguna untuk tujuan lain,” katanya dalam hantaran itu.

Berikut adalah kegunaan lain beras yang telah rosak mahupun tamat tarikh tempoh berdasarkan gambar atau ‘peta minda’ dikongsikan PHM di dalam hantaran sama.

  1.   Bahan kompos untuk baja tumbuhan ditanam.
  2.   Makanan kepada haiwan ternakan.
  3.   Kegunaan kebun dan pertanian.
  4.   Bahan kraf dan hasilkan bahan seni.

Diharapkan perkongsian ini dapat memberikan pengetahuan tambahan kepada para pembaca mengenai kegunaan lain bekalan makanan yang telah temat tempoh itu.

Memandangkan harga beras terkini semakin tinggi selari dengan perkembangan ekonomi global, elakkan daripada melakukan pembaziran dengan membuang ataupun membakar beras.

Baca juga: Risau santan kotak cepat basi lepas buka? Guna teknik simpanan ni, baru tahan lama!