Pengambilan makanan sihat seperti salad sayur-sayuran dapat memberikan banyak manfaat terutamanya kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Bukan sahaja mengenyangkan, daun salad juga dikatakan mampu mengawal berat badan mereka yang menikmatinya kerana kandungan kalorinya dalam tahap rendah.
Daun salad yang enak dimakan begitu sahaja turut sering digunakan di dalam proses penyediaan makanan seperti roti sandwic dan juga pelengkap hidangan nasi ayam.
Walau bagaimanapun, sayuran ini sering dijual dalam kuantiti yang banyak meskipun penggunaannya hanyalah sedikit sehingga lebihannya dimasukkan dalam peti sejuk.
Namun daun salad malangnya tidak dapat bertahan dengan lama dan akan menjadi cepat rosak, layu serta kurang sesuai untuk dimakan jika hanya disimpan dalam peti.
Oleh yang demikian, berikut kami kongsikan petua untuk memastikan sayur-sayuran tersebut tahan lebih daripada tiga minggu berdasarkan satu hantaran di Facebook.
“Salad kekal segar dan elok. Ini cara saya menyimpan daun salad agar dapat kekal segar dan tahan lama walaupun duduk dalam tempoh dua ke minggu dalam peti ais.
“(Sangat sesuai untuk diamalkan) kalau malas nak keluar selalu cari sayur. Diet tetap berjalan, sayur wajib ada,” kata pemilik akaun yang dikenali sebagai Nur Fitriyana itu.
Cara penyimpanan Daun Salad dalam peti ais;
1. Basuhkan semua daun salad pilihan yang telah anda beli. Pastikan setiap helaian bersih.
2. Sediakan satu bekas plastik yang mempunyai penutup. Kemudian boleh letakkan helaian tisu yang kering di bahagian bawahnya.
3. Langkah seterusnya, bolehlah letakkan sehelai demi sehelai daun salad dan diikuti dengan helaian tisu kering secara berselang-seli.
4. Selepas itu bolehlah tambah beberapa keping tisu di bahagian atas sebaik semua daun diletak sebelum bekas plastik tersebut ditutup dan disimpan ke dalam peti ais.
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini memberikan manfaat dan dapat membantu menyelesaikan masalah pembaca.
Baca juga: Tak sangka keluarga lipas terus keluar, pemilik kereta wajib cuba cara halau serangga ini!