Baru tahu cara simpan lengkuas sampai tahan berbulan, tak takut beli banyak lepas ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Lengkuas adalah salah satu jenis rempah ratus yang penting bagi menambah rasa dan aroma dalam masakan khususnya buat masyarakat Melayu.

Walau bagaimanapun, tidak terlalu banyak hidangan yang memerlukan rempah ini sehingga membuatkannya jarang digunakan lalu dibiarkan kecut di dalam peti ais.

Lebih menyukarkan keadaan, saiznya yang begitu besar turut menjadi salah satu faktor penyumbang berlakunya pembaziran setiap kali tumbuhan itu dibeli dari kedai.

Prihatin dengan kegusaran ramai, seorang wanita tampil membuat perkongsian di laman Facebook mengenai petua rahsia bagi menyimpan rempah agar tahan lama.

“Ini petua simpan lengkuas. Sengaja kongsi petua dapur. Rasanya ramai yang tahu. Tetapi tidak mengapalah, Kak Zah nak berkongsi kepada pengikut yang muda-muda.

“Lengkuas ini kegunaannya agak jarang juga kan. Tetapi kalau tiada lengkuas, tak sedap pula singgang dan rendang. Lengkuas jual di kedai seketul gedabak besar.

“Tetapi setiap kali guna, ambil lima atau enam hiris sahaja. Sini Kak Zah ajar cara nak simpan lengkuas,” katanya yang menggunakan akaun Facebook bernama Faizah Husain.

1. Basuh lengkuas daripada kesan-kesan tanah dahulu. Kemudian, buang kulit dan hiris habis tumbuhan itu. Selepas itu, cuci semula hirisan tersebut sekali lagi.

2. Susunkan hirisan lengkuas di atas bekas leper (seperti penutup periuk). Jangan bertindih atau sentuh satu sama lain. Kemudian simpan di dalam peti beku.

3. Apabila lengkuas menjadi keras seperti air batu, keluarkan hirisan itu dan cepat-cepat memasukkannya ke dalam bekas ataupun plastik ziplock sebelum ia berair.

Tujuan dibekukan terlebih dahulu adalah supaya hirisan ini tidak melekat antara satu sama lain ketika diambil dari dalam peti. Tidak perlu proses defrost (dinyahbeku) lagi.

4. Simpan semula dalam peti beku. Tahan berbulan-bulan jika tidak digunakan untuk memasak. Lebih mudah berbanding cara rendaman kerana perlu menukar air selalu.

Baca juga: Simpan komik adiwira tahun 1938, harga lelongan cecah hampir RM30 juta