Selama ini, pasti ramai yang menyangka bahawa jawatan Perdana Menteri Malaysia selaku ketua eksekutif negara menerima imbuhan paling lumayan di kalangan posisi politik.
Namun siapa menduga, semakan terhadap data imbuhan yang melibatkan eksekutif tertinggi kerajaan persekutuan dan negeri malah menunjukkan maklumat sebaliknya.
Semakan yang dilakukan oleh Kini News Lab itu mendapati wujudnya jurang besar di antara negeri-negeri malah gaji ketua eksekutif di beberapa wilayah juga lebih tinggi daripada pendapatan Perdana Menteri.
Memetik laporan Malaysia Kini, Premier Sarawak yang sebelum ini dikenali sebagai ketua menteri menerima gaji 71 peratus lebih tinggi berbanding Perdana Menteri iaitu sebanyak RM39,000.
Lima negeri lain yang mencatatkan gaji ketua negeri lebih tinggi dari Perdana Menteri ialah Sabah dengan jumlah RM33,033 diikuti Terengganu (30,000), Pahang (30,000), Perak (25,000) dan Selangor (25,000).
Difahamkan, data berkenaan juga menunjukkan tiadanya hubung kait secara langsung di antara prestasi ekonomi (KDNK) negeri dengan gaji yang diterima oleh ketua eksekutif ini.
Sebagai contoh, gaji untuk Menteri Besar Kelantan adalah sebanyak RM20,000 sementara KDNK per kapita negeri itu adalah yang terendah di Malaysia pada tahun 2023 iaitu RM16,836.
Hal ini bermakna, gaji yang diterima oleh Menteri Besar Kelantan adalah 119 peratus daripada KDNK per kapita negeri itu sekali gus menunjukkan jurang besar dengan prestasi ekonomi negeri di Malaysia.
Sebaliknya, Pulau Pinang mencatatkan KDNK per kapita tertinggi di Malaysia pada tahun 2023 (tidak termasuk Wilayah Persekutuan) iaitu dengan pencapaian sebanyak RM72,586.
Walau bagaimanapun, gaji Ketua Menteri Pulau Pinang adalah yang paling rendah dengan nilai RM14,175 sebulan iaitu hanya satu perlima atau 20 peratus daripada KDNK per kapita negeri.
Antara punca perkara ini berlaku adalah federalisme di mana Malaysia adalah sebuah persekutuan yang terdiri daripada pelbagai negeri dan wilayah, Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.
Setiap satunya mempunyai bidang kuasa dan juga kuasa legislatif mereka sendiri, termasuklah untuk menetapkan gaji anggota kabinet kerajaan persekutuan ataupun Exco negeri.
Oleh itu, setiap Dewan Undangan Negeri meluluskan undang-undang yang menetapkan gaji Menteri Besar atau Ketua Menteri dan Exco mereka bagi negeri masing-masing.
Manakala Parlimen pula bertanggungjawab meluluskan undang-undang yang menetapkan gaji Perdana Menteri dan juga anggota kabinet.
Untuk rekod, gaji yang ditetapkan buat Perdana Menteri adalah RM22,826 namun Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua eksekutif negara membuat keputusan untuk tidak mengambil gaji.
Baca juga: Atlet popular Paris 2024 dihalau dari perkampungan atlet gara-gara sibuk makan angin di Disneyland