Perniagaan bahan bakar yang menjanjikan keuntungan lumayan semestinya telah menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk membuka stesen minyak sendiri.
Tidak melibatkan proses rumit, mereka yang berminat untuk membuka perniagaan berkenaan bagaimanapun perlu memenuhi beberapa syarat sebelum menjalankan operasi.
Untuk pengetahuan umum, sebenarnya terdapat dua jenis pengurusan yang di guna pakai untuk menjalankan perniagaan atau penjualan bahan bakar di negara ini.
Dua jenis pengurusan yang diguna pakai di Malaysia tersebut adalah Company Own Dealer Operate (CODO) dan Dealer Own Dealer Operate (DODO).
Bagi operasi CODO, tapak stesen minyak akan dimiliki syarikat pengendali stesen minyak dan harga bahan bakar yang dijual pula dikawal selia oleh pihak kerajaan.
Manakala, stesen minyak yang menjalankan operasi penjualan bahan bakar secara DODO pula akan dimiliki sepenuhnya oleh peniaga itu sendiri.
Berikut adalah empat syarat penting yang perlu dipenuhi oleh mereka yang mahu membuka stesen minyak dengan menggunakan operasi DODO.
1. Geran tanah – Sebelum menjalankan perniagaan, nama geran tanah perlu ditukar kepada jenama pengendali stesen minyak yang dipilih peniaga.
2. Saiz tanah – Mereka yang berminat perlu memiliki tanah sekurang-kurangnya seluas 0.75 ekar. Namun, tanah bersaiz satu ekar adalah keluasan yang terbaik.
Perlu diingatkan, tanah lot yang berbentuk segi empat selalunya menjadi pilihan popular oleh pihak syarikat pengendali minyak.
Bagaimanapun, sebelum dipilih untuk dijadikan stesen, syarikat pengendali minyak akan menjalankan proses kiraan trafik terlebih dahulu,
Proses ini dijalankan untuk menilai sama ada tanah tersebut berada di dalam kawasan strategik ataupun sebaliknya.
3. Jalan masuk dan keluar stesen – Ini adalah antara faktor terpenting yang perlu dinilai sebelum membuat keputusan untuk mula menjalankan perniagaan.
Untuk kegunaan dan keselesaan pengunjung, jalan masuk dan jalan keluar daripada stesen minyak haruslah mempunyai keluasan yang cukup besar.
4. Bajet – mereka yang berminat untuk membuka stesen minyak perlu menyediakan modal sebanyak RM2.5 juta sehingga RM5 juta.
Hal ini kerana, pihak bank hanya akan meminjamkan separuh daripada jumlah perbelanjaan untuk membuka stesen minyak.
Tular di media sosial, perkara itu dijelaskan di dalam video yang dikongsi oleh seorang pengguna media sosial dikenali sebagai @jllmisai menerusi satu ciapan di laman X.
Baca juga: Pernah sentuh isu 3R, Fahmi Fadzil jelaskan isu pembatalan permit persembahan pelawak Singapura