Baru tahu ini cara bezakan kedai Mamak Muslim dengan Hindu, senang nak sahur nanti!

Oleh WAN SITI AMINAH

Kedai mamak sering menjadi pilihan utama rakyat Malaysia terutamanya golongan bujang untuk bersahur berikutan premis itu dibuka hingga awal pagi

Walau bagaimanapun sebelum anda menyantap hidangan di restoran itu, pernahkah terlintas di fikiran pengunjung mengenai status halal makanan yang dijual di situ?

Hal ini kerana bukan sahaja restoran Mamak Muslim, kedai makan Mamak Hindu juga wujud di negara kita yang begitu kaya dengan masyarakat dari pelbagai kaum dan agama.

Menyedari akan keresahan yang dialami khususnya oleh masyarakat Muslim, seorang pemuda tampil berkongsi cara mudah untuk membezakan dua jenis restoran tersebut.

Menurut satu hantaran oleh Afyan Mat Rawi di laman Facebook, pemerhatian pada Hari Deepavali merupakan salah satu cara yang paling mudah untuk mengenal pasti jenis restoran Mamak.

Hal ini kerana menurut Afyan, premis yang diusahakan oleh Mamak Hindu akan ditutup sewaktu Hari Deepavali supaya kakitangan mereka boleh menyambut perayaan tersebut.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mengenal pasti perbezaan antara kedua restoran berkenaan dengan cara mudah iaitu memerhati sahaja jenis hidangan yang dijual.

“Restoran mamak Muslim biasanya akan ada masakan daging lembu. Jika restoran Hindu atau mamak tiruan, selalunya tidak (tiada daging lembu).

“Cara yang paling ampuh, berikan salam dengan lafaz. Jika jawab salam tergagap-gagap, lari jauh-jauh cara ini boleh diuji kepada pemilik dan pekerja.” Katanya.

Tambah Afyan, restoran yang dimiliki oleh Mamak Muslim juga kebiasaannya bakal menyediakan kemudahan ruangan solat selain premis selalunya ditutup pada waktu solat jumaat.

Afyan dalam hantaran yang sama turut menasihati pelanggan supaya tidak terpedaya dengan bingkaian gambar seperti ayat suci al-Quran, masjid, Mekah atau Kaabah.

Baca juga: Jangan guna berus besi dekat periuk stainless steel, boleh rosak! Rupanya ini cara betul