Siapa sangka, cuaca panas melampau yang melanda negara ini telah berjaya menimbulkan pelbagai idea kreatif di benak fikiran rakyat Malaysia.
Tidak tahan lagi dengan bahang yang terasa, seorang lelaki berusaha mencari jalan sebelum menemui satu kaedah cukup berkesan untuk meredakan kepananasan dialaminya.
Pengguna laman TikTok dikenali sebagai Chai Huat itu kemudian berkongsi ilmu mengenai ‘cara mandi yang betul’ di menerusi satu hantaran video dimuat naik olehnya di platform terbabit.
Menerusi rakaman berdurasi tujuh saat itu, Chai Huat mulanya memperlihatkan pancuran air atau ‘shower head’ yang berada di dalam bilik mandi di kediamannya.
Kemudian di bawah pancuran air tersebut, lelaki berkenaan meletakkan satu penapis keluli yang biasanya terdapat di dapur rumah dan penuhkannya dengan ais batu.
Hasilnya, air daripada pancuran yang melalui penapis keluli tersebut akan keluar menjadi air sejuk yang dijangkakan mampu meredakan suhu badan dengan cepat.
Satu idea yang berada di luar kotak pemikiran, video cara mandi yang betul itu telah berjaya mendapat sebanyak 2.4 juta tontonan oleh pelayar platform media sosial TikTok.
Malah, hasil tinjauan di ruangan komen juga mendapati rata-rata penonton kagum dengan idea kreatif dan mudah yang dicadangkan oleh perakam video terbabit.
“Bijak-bijak orang kat Tiktok ni. Macam-macam tips aku dapat,” kata seorang pengguna yang menghargai maklumat berguna yang dikongsi oleh Chai Huat itu.
“Genius. Terutamanya di cuaca panas yang kita alami sekarang,” kongsi pengguna lain yang kagum dengan kemampuan Huat dalam menyelesaikan masalah.
Mereka yang mahu menghilangkan rasa panas tanpa mengeluar belanja untuk membeli kipas tambahan atau penghawa dingin bolehlah mencuba tips dikongsikan Huat ini.