Buah keras atau nama saintifiknya iaitu aleurites moluccanus merupakan salah satu bahan yang sering digunakan di dalam hidangan khususnya masakan Asia.
Walaupun bentuk dan rasanya seakan kacang macadamia namun mempunyai fungsi dan khasiatnya yang jauh berbeza terutamanya jika digunakan di dalam masakan.
Lazimnya, buah keras akan dibakar ataupun dipanggang terlebih dahulu sebelum ia dimasukkan ke dalam masakan seperti gulai, kari, rendang, sup mahupun tumisan.
Bahan ini juga mempunyai fungsi tersendiri di dalam sesuatu masakan sebagaimana perkongsian yang dimuat naik menerusi sebuah portal masakan, Alamama Resto.
1. Pemekat kuah semula jadi
Buah keras merupakan bahan pemekat yang semula jadi dalam hidangan berkuah. Penggunaan bahan ini akan menjadikan tekstur kuah lebih pekat dan juga berlemak.
2. Pembangkit aroma masakan
Buah keras yang ditumiskan atau dibakar dengan bawang putih dan bawang merah akan menaikkan ‘bau’ sesuatu masakan seperti hidangan gulai atau asam pedas.
3. Penyedap rasa semula jadi dalam masakan tumis
Penggunaan buah keras yang dipanggang boleh menambah keenakkan masakan. Kerana, proses pemanggangan telah mengeluarkan minyak daripada buah keras.
Minyak terhasil inilah yang bertugas sebagai agen ‘penyedap rasa’ terutamanya di dalam masakan berasaskan tumisan.
4. Mengawal konsistensi santan dalam masakan
Buah keras merupakan salah satu bahan yang sering ditambahkan ketika memasak gulai. Hal ini kerana, bahan itu mampu membantu mengekalkan konsistensi santan.
Apabila gulai yang berisi buah keras dipanaskan, santan dikatakan tidak akan pecah kerana kandungan di dalamnya yang memiliki fungsi sebagai ‘pengikat’ isi santan.
5. Penyerap rempah
Buah keras juga membantu bahan mentah seperti ayam atau daging bagi menyerap rempah. Bermakna, rempah atau bahan perapan yang digunakan akan lebih terasa.
Baca juga: “Sakit betul bila penyondol desak aku benarkan suami kahwin, siap minta sebelum aku bersalin…”