Baru tahu kulit buah boleh dibuat baja, lelaki kongsi rahsia tanaman kekal subur walau pokok sudah tua

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, kulit buah seperti pisang, tembikai, mangga dan oren yang selalu menjadi bahan buangan sebenarnya mempunyai banyak kegunaan lain terutamanya kepada tanaman.

Penggunaan kulit buah sebagai bahan tambahan dalam baja dikatakan boleh membantu untuk menggalakkan pertumbuhan tanaman malah pokok yang lama juga kekal subur.

Dijamin menjadi, ‘rahsia’ tersebut dibongkar oleh seorang pemuda yang mempraktikkan penggunaan baja kulit buah itu menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Lelaki berkenaan turut memuat naik satu rakaman dalam hantaran sama memaparkan halaman rumahnya yang dipenuhi dengan pelbagai tanaman subur termasuklah sayur bendi dan kucai.

“Pokok sudah tua, tetapi buahnya masih bersusun-susun. Jenuh nak makan, Alhamdulillah. Kami guna kulit pisang, tembikai, mangga dan oren. Kulit pisang yang lebam dan sudah buruk pun boleh!

“Paling berkesan kulit pisang. Jangan pula buang hampas peraman itu dekat pangkal pokok. Nanti mati pula pokok sebab baja ini kuat woo. Layu pokok nanti,” katanya yang turut berkongsi kaedah menyediakan baja berkenaan.

Kaedah membuat baja gula merah organik bersama kulit buah

  1. Sediakan kulit buah seperti pisang, tembikai, limau, mangga dan sebagainya. Paling bagus kulit pisang.
  2. Masukkan kulit yang sudah dikumpul dalam sebuah bekas dan campurkan dengan sedikit air.
  3. Tidak perlu masukkan air dalam kuantiti yang banyak kerana kulit buah itu sendiri boleh menghasilkan air.
  4. Masukkan sedikit gula merah. Jika malas bancuh gula merah, boleh tambah ‘molasses’ (gula hitam pekat).
  5. Tutup bekas dan peram selama dua minggu. Jangan lupa menebuk lubang pada penutup kerana khuatir bakal meletup ekoran penghasilan gas.
  6. Selepas dua minggu, tapis bancuhan baja dan boleh terus digunakan untuk menyiram tanaman.
  7. Gunakan penutup air mineral untuk menyukat baja.
  8. Campurkan baja dalam tiga per empat penutup botol dengan air biasa sebanyak 1.5 liter.
  9. Kemudian siramlah pokok dalam dua sehingga tiga minggu sekali. Hasilnya boleh dilihat dalam tempoh dua minggu.

Baca juga: Tak perlu susah-susah rendam 1 malam! Ini petua senang nak lembutkan sotong kering