Laksa adalah sejenis hidangan mi berkuah yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia tak kira umur mahupun bangsa.
Dinikmati oleh pelbagai etnik termasuk Cina, Baba Nyonya dan Melayu, tidak keterlaluan jika hidangan ini dikatakan sebagai salah satu makanan kebangsaan di Malaysia.
Walau bagaimanapun, laksa adalah salah satu hidangan yang sedikit sukar untuk dimasak di rumah selain menelan belanja banyak jika mahu dinikmati dengan kerap.
Oleh yang demikian, seorang wanita dikenali sebagai Shila tampil berkongsi resepi laksa unik menerusi satu hantaran tular dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Bukan sahaja mudah untuk disediakan, resepi unik Laksa Tom Yam ini juga tidak memerlukan modal yang banyak kerana menggunakan bahan sedia ada di dapur.
“Laksa Tomyam. Tak payah kalut selepas ini kalau harga ikan mahal ataupun murah,” kata Shila yang berkongsi resepi menerusi kumpulan Facebook Masak Apa Hari Ini.
Bahan-bahan:
- Satu pek sosej
- Tiga sudu makan pes Tomyam
- Dua sudu makan pes cili
- Tiga batang serai (diketuk)
- Cili api (kuantiti mengikut selera)
- Lima atau enam helai daun limau purut
- Sedikit santan
- Kiub tomyam
Cara memasak:
1. Tumis serai bersama daun limau purut dan cili api. Kacau sekejap dan masukkan pula pes Tomyam dan pes cili. Kacau sebati kemudian masukkan sedikit air.
2. Tambahkan sedikit santan kemudian biarkan sehingga mendidih seketika.
3. Apabila sudah mendidih, boleh tambahkan sosej yang telah dipotong kecil-kecil dan kacau perlahan. Kemudian sambung didihkan lagi seketika.
4. Sedia untuk dimakan dengan laksa yang sudah direbus. Selamat mencuba!
“Kalau guna pati santan, jangan lupa tambahkan air sedikit supaya tidak terlalu pekat. Tetapi, jangan terlalu cair sangat. Sukatan air boleh agak-agak sahaja.
“Kalau santan kotak yang pekat, boleh tambah air banyak sedikit.” Jelas pemilik akaun Facebook Shila VS Airin itu menjawab soalan daripada para pengikutnya.
Baca juga: Baru tahu ada tips pilih epal manis dan rangup, periksa 5 perkara ini sebelum beli!