Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) menuju ke Kelana Jaya merupakan antara salah satu laluan yang paling sibuk di Lembah Klang.
Namun tahukah anda, terowong laluan yang menjadi tumpuan para pengguna LRT ini dibina di bawah tapak Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang di Kuala Lumpur.
Dikatakan terletak di sekitar lebih 40 meter di bawah tanah kubur, terowong laluan LRT ini rupa-rupanya menyimpan sejuta rahsia mistik yang masih belum terungkai.
Sememangnya sangat mengejutkan, perkara ini didedahkan oleh seorang pengguna media sosial menerusi satu hantaran video tular di akaun TikTok miliknya, @radinfikri.
Memuat naik video berbentuk animasi grafik, rakaman berdurasi 22 saat itu berjaya memberikan paparan jelas mengenai lokasi sebenar terowong laluan LRT berkenaan.
Hantaran yang mengundang satu perbincangan hangat itu kemudian dibanjiri komen mengenai pengalaman mistik dialami pengguna LRT ketika menggunakan laluan itu.
Berikut kami kongsikan beberapa kejadian mistik di terowong LRT laluan Kelana Jaya yang menjadi perbualan hangat di kalangan netizen Malaysia suatu ketika dahulu.
1. Lelaki berjubah putih
Seorang wartawan tempatan mengaku pernah menyaksikan kelibat lelaki berjubah putih ketika melakukan liputan di terowong bawah tanah di laluan LRT Kelana Jaya.
Bukan itu sahaja, wartawan itu juga dikatakan sempat merakam imej misteri tersebut secara tidak sengaja di mana ia memaparkan kelibat seorang lelaki sedang berdiri.
Menurut wartawan tersebut, beberapa kakitangan yang bertugas di situ juga pernah menerima beberapa gangguan mistik termasuk penampakan lelaki tua berkenaan.
“Dahulu ada gangguan seperti terdengar suara orang bercakap dan macam-macam lagi. Sebab itulah kita selalu pesan kepada staf agar jangan celupar dan jaga adab.
“Malah, jika ternampak apa-apa mencurigakan jangan sesekali tegur, sebaliknya buat saja kerja seperti biasa,” katanya pekerja yang bertugas memetik Berita Harian.
2. Kelibat pocong di hentian stesyen KLCC
Kejadian ini diceritakan seorang pengguna media sosial yang tidak dapat melupakan satu insiden misteri dialaminya ketika menaiki LRT di laluan itu pada tahun 2003 lalu.
Difahamkan, wanita dikenali sebagai Blanka itu menaiki kenderaan awam berkenaan pada pukul 11.30 malam sebelum anaknya mengakui ternampak satu kelibat pocong.
Kanak-kanak yang bernama Mizi itu bagaimanapun memilih untuk berdiam diri dan bercerita mengenai penampakan itu setelah turun dari hentian laluan Kelana Jaya.
“Ma, kenapa dalam train tadi Mizi nampak semua orang pakai jubah putih ikat dekat pinggang, ikat kat kaki. Lepas itu tu dia pakai tudung, ikat ke atas,” soal Mizi kepada ibunya.
Blanka kemudian segera bergegas mengajak anaknya itu pulang ke rumah selepas menyedari bahawa kelibat yang dimaksudkan oleh Mizi sebenarnya adalah hantu pocong.
Baca juga: Raih hampir 2 juta tontonan, netizen kagum kegigihan pemuda jual burger ‘home-made’ sampai sahur