Baru tahu lemon boleh bantu segarkan semula sayur layu, jangan lupa tambah satu bahan ini!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, air perahan lemon sebenarnya dapat membantu menyegarkan semula sayuran yang sudah layu hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja.

Hal ini kerana kandungan asid di dalamnya dikatakan boleh mempercepatkan proses penyerapan air oleh sayur-sayuran yang direndam air supaya ia menjadi lebih segar.

Malah air perahan lemon juga akan memberikan aroma segar dan harum yang boleh menghilangkan bau tidak menyenangkan daripada sayur-sayuran yang telah layu itu.

Petua tersebut dikongsikan oleh seorang wanita dikenali sebagai Ummu Balqis Haura yang turut memuat naik rakaman video memaparkan kaedah untuk merendam sayur.

Jelasnya, sayur yang telah layu itu perlulah direndam dengan air bersama ketulan ais sebelum ditambahkan perahan lemon ke dalamnya untuk menyegarkannya semula.

“Suhu sejuk ketulan ais membantu menyegarkan sayur-sayuran dengan cepat malah menjadikannya rangup dan segar semula. Ketulan ais juga membantu mengekalkan kelembapan sayur-sayuran,” katanya.

Bahan-bahan rendaman sayur

  • Satu sudu air perahan lemon atau limau nipis
  • Ais batu
  • Air paip biasa

Langkah-langkah:

1. Mula-mula, potongkan kecil-kecil sayuran hijau yang telah layu.

2. Kemudian, masukkan sayur yang telah dipotong itu ke dalam mangkuk atau bekas plastik besar berisi air.

3. Selepas itu, masukkan beberapa ketulan ais batu sebelum ditambahkan sedikit air perahan lemon lalu gaulkan semua bahan perlahan-lahan.

4. Biarkan sayur-sayuran tersebut di dalam rendaman itu selama 10 sehingga ke 15 minit.

5. Langkah seterusnya adalah tapiskan sayuran yang sudah kembali segar dan bilas sehingga betul-betul bersih. Kemudian sayur anda sudah sedia untuk dimasak!

Rakaman menyediakan rendaman menyegarkan sayuran layu itu dikongsikan oleh Ummu menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.

Baca juga: Nak nasi minyak bau harum? Wanita kongsi rahsia, rupanya kena masukkan satu bahan ni…