Baru tahu nanas ada banyak khasiat, ini 4 manfaat selain atasi masalah keradangan

Oleh MALAYSIADATELINE

Nanas adalah sejenis buah-buahan tropika yang bukan sahaja enak untuk dimakan malah turut mengandungi banyak khasiat dari segi kesihatan tubuh badan manusia.

Tanaman berduri ini juga sesuai untuk diet kerana rendah kalori selain mengandungi antioksidan dan enzim pencernaan yang membantu memudahkan penghadaman.

Buah yang enak dimakan atau dijadikan jus minuman ini juga kaya dengan pelbagai vitamin antaranya vitamin A, C, K, B6, kalium, magnesium, protein, zink dan kalsium.

Antara khasiat ‘popular’ buah ini adalah membantu meredakan keradangan kerana mengandungi enzim jenis bromelain yang dikatakan mempunyai sifat antiradang.

Walau bagaimanapun, terdapat manfaat lain daripada buah ini yang jarang diketahui orang ramai dan berikut kami kongsi khasiatnya berdasarkan laporan Berita Harian.

1. Mengurangkan risiko kanser

Berdasarkan kajian oleh penyelidik daripada University of Naples Federico II Naples, Itali iaitu Barbara Romano, buah ini boleh membantu mengurangkan risiko kanser.

Malah beberapa kajian lain turut mendapati nanas mengurangkan risiko penyakit tersebut dengan meminimumkan tekanan oksidatif dan mengurangkan keradangan.

2. Membantu meningkatkan imuniti

Nanas boleh membantu meningkatkan imuniti dan menyekat keradangan dan hal ini terbukti dalam kajian sembilan minggu dijalankan oleh penyelidik, Mavil May C Cervo.

Antara 98 kanak-kanak yang diberi nanas setiap hari dan sebahagiannya tidak diberi makan buah itu mendapati mereka yang paling banyak makan memiliki lebih banyak sel darah putih bagi melawan penyakit berbanding yang lain.

3. Membantu menyembuhkan batuk

Makan nanas dipercayai dapat mengurangkan batuk kerana ia boleh mengeluarkan lendir kahak. Nanas boleh dijadikan sebagai jus sebelum diminum untuk tujuan itu.

4. Baik untuk kulit dan rambut

Nanas juga dikatakan baik untuk kulit dan juga rambut kerana mengandungi vitamin C yang boleh membantu bagi mendapatkan rambut yang lebih lembut dan bersinar.

Kandungan enzim bromelain yang mempunyai sifat antiradang juga mampu untuk membantu mencegah jerawat dan ruam kulit.

Baca juga: Tak sangka jambu batu boleh berbuah lebat walau tanam dalam pasu, lepas 3 bulan boleh makan!