Baru tahu nasi kandar lauk babi bebas untuk dijual, ini penjelasan Mufti Pulau Pinang

Oleh WAN SITI AMINAH

Kemunculan sebuah restoran yang menjual nasi kandar dan nasi lemak berlaukkan khinzir telah menimbulkan satu perbincangan hangat, baru-baru ini.

Mana tidaknya, peniaga dari Petaling Jaya itu telah bertindak menggunakan daging berstatus haram dalam hidangan yang kebiasaannya dinikmati oleh orang Melayu.

Didakwa telah mewujudkan kekeliruan, tindakan peniaga tersebut telah mengundang kemarahan banyak pihak khususnya dari masyarakat yang menganut agama Islam.

Peka dengan kegusaran orang ramai, Mufti Pulau Pinang iaitu Wan Salim Wan Mohd Noor tampil memberi penjelasan mengenai isu itu sekaligus menjernihkan keadaan.

Menurut Wan Salim, orang bukan Islam yang menjual makanan tidak halal bebas untuk memasarkannya atau menghidangkannya kepada masyarakat bukan Islam.

Ini termasuklah nasi berlaukkan daging khinzir kerana sebagaimana yang diketahui umum, orang bukan Islam tidak terikat dengan hukum Islam, lapor Malaysia Kini.

Walau bagaimanapun, premis yang menjual makanan tidak halal harus memaparkan notis dan iklan bagi makluman pelanggan tentang status makanan jualan mereka.

“Mana-mana premis yang menjual makanan sedemikian (tidak halal) hendaklah memaparkan iklan atau notis memaklumkan status makanan supaya tidak dimakan oleh penganut Islam. 

“Pihak penguatkuasaan agama juga hendaklah mengarahkan premis-premis berkenaan supaya berbuat demikian (papar notis tidak halal),” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Sementara itu, Wan Salim juga sempat mengulas larangan memakan daging khinzir ke atas umat Islam seperti dinyatakan dengan jelas di dalam kitab suci al-Quran.

Disifatkan sebagai ‘rijsun’ yang boleh difahami sebagai najis serta kotor, umat Islam dilarang memakan benda kotor dan menjijikkan atau disebut sebagai ‘khaba’ith’.

Malah, kajian ahli perubatan moden juga telah menemui sejenis cacing yang menyebabkan penyakit berbahaya di dalam daging khinzir dikenali sebagai ‘treichine’.

“Cacing ini menyebabkan penyakit yang sukar diubati. Bagi seorang Muslim, apa jua yang dilarang oleh agama Islam hendaklah dihindari sama ada diketahui sebab ia dilarang atau tidak.

“Keimanan kepada wahyu Allah sudah memadai bagi seorang Muslim untuk mematuhi segala perintah Tuhan termasuk dalam soal makan dan minum.” Jelasnya.

Justeru itu, masyarakat Islam diseru supaya berhati-hati dalam soal makan dan minum supaya tidak termakan benda-benda yang telah diharamkan oleh agama.

Baca juga: Dilabel sebagai daging kambing, aktivis selamatkan ribuan kucing dari disembelih