Baru tahu rahsia kenapa orang cina jarang ‘renovate’ rumah, patutlah ramai kaya-kaya!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berbangsa Cina berjaya mencuri perhatian ramai selepas membuat satu pendedahan mengejutkan di platform media sosial.

Mana tidaknya, pemuda berkenaan tampil membongkarkan ‘rahsia’ diamalkan oleh mereka yang berketurunan Cina menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Lelaki yang dikenali sebagai Adam Kelvin itu memaklumkan bahawa sudah menjadi tradisi untuk masyarakat Cina supaya melakukan renovasi rumah secara minimum.

Jelasnya, amalan mendekorasi atau merenovasi kediaman sudah tidak lagi menjadi keutamaan untuk masyarakat Cina sebaliknya hanya dilakukan mengikut keperluan.

Namun jika renovasi perlu dijalankan, ia akan melibatkan perkara yang penting atau berguna sahaja seperti membina meja makan, kabinet dapur serta tempat mendobi.

Menurut Adam, mereka sememangnya jarang menghias ataupun mendekorasi rumah hingga kelihatan mewah namun hanya memastikan kediaman berfungsi dengan baik.

Sebagai contoh, langsir biasa khususnya tanpa ropol sering dijadikan pilihan pemilik rumah dalam kalangan kaum Cina kerana ia tampak sederhana dan mudah dibasuh.

Mengulas lanjut, Adam memberitahu bahawa komuniti Cina lebih gemar menghabiskan duit yang diperolehi untuk tujuan pendidikan, melancong dan perbelanjaan makanan.

“Masyarakat kami banyak habiskan duit untuk melancong. Namun, kami melancong untuk tambah pengalaman hidup. Hidup ini bukanlah untuk memuaskan hati orang.

“Itulah yang ayah saya tanamkan sejak kecil. Rasanya ramai orang Cina pun dididik sebegitu. Hidup secara bersederhana dan belilah sesuatu bukan untuk menunjuk.

“Tetapi untuk kepuasan atau ‘reward’ (ganjaran) kepada diri kerana telah berkorban selama ini.” Kongsi Adam yang juga pemilik sebuah pusat tuisyen dalam hantaran itu.

Baca juga: Pernah gaduh 13 tahun lalu, ‘uncle’ singlet putih dedah cerita sebalik video satu lawan satu