Seorang pengusaha restoran telah berjaya menarik perhatian ramai selepas tampil berkongsi satu petua mengenai penyimpanan santan di akaun TikTok miliknya.
Menurut peniaga yang mesra disapa Pak Man itu, salah satu bahan penting di dalam masakan tempatan iaitu santan boleh disimpan di luar peti sejuk sebelum digunakan.
Kekal segar dalam tempoh tiga hari, mereka yang mahu mengikut petua Pak Man itu perlu menyediakan dua bahan iaitu garam dan ais batu selain bekas penyimpanan.
Sesuai diamalkan oleh mereka yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik, petua daripada Cik Man ini juga boleh digunakan para peniaga makanan khususnya.
“Hai hangpa (anda semua). Hari ini aku nak kongsi macam mana cara nak simpan santan segar sekiranya rumah hangpa tiada elektrik atau peti ais rosak,” katanya.
Langkah-langkah penyimpanan santan
1. Masukkan bungkusan santan ke dalam satu bekas. Kemudian, letakkan ais batu ke dalam bekas yang sama sehinggalah ia menutupi kesemua bungkusan berkenaan.
2. Kemudian, tuangkan sedikit air ke atasnya sebelum tambahkan lagi lebihan ais batu.
3. Bagi memastikan ais tersebut tahan lama, masukkan sedikit garam. Jangan lupa gaulkan sedikit. Jika kulit anda sensitif, bolehlah pakai senduk atau sarung tangan.
“Selagi mana ais ada di dalam bekas ini, Insya-Allah dalam dua atau tiga hari boleh tahan walaupun santan tidak disimpankan di dalam peti ais.” Ulas Pak Man lagi.
Baca juga: Juruteknik ditahan polis, isteri bersama dua anak ditemui mati tergantung pada kipas